“Kita tak seharusnya tewas begini” – Yusri Che Lah

Yusri Che Lah
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Projek FAM-MSN kendalian Yusri Che Lah menyepak mula aksi pertama selepas berehat lebih dua bulan, dengan kekalahan 1-2 di tangan Kelantan FC di Kota Bharu pada Sabtu.

Ia adalah kekalahan kesepuluh mereka buat musim ini, dan kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum mencatat kemenangan selepas mengharungi 12 perlawanan.

Lebih mengecewakan Yusri Che Lah, pasukannya mendahului pada minit ke-53 menerusi jaringan Azhad Harraz Arman tetapi berputih mata apabila melepaskan dua gol di hujung permainan membolehkan Kelantan FC melakar kemenangan kelima musim ini.

Christos Intzidis menyamakan kedudukan pada minit ke-83 buat skuad kendalian Marco Ragini sebelum jaringan kemenangan dihasilkan Ismail Ibrahim pada masa kecederaan.

“Kita tidak seharusnya tewas begini, dalam 90 minit, kita telah berjaya mengimbangi permainan dengan baik walaupun memang pada separuh masa pertama dikuasai pasukan tuan rumah.

“Di separuh masa kedua kita cuba menekan dan berjaya dapatkan jaringan, malah mencipta lagi peluang, yang mana jika disudahkan kita pastinya telah membunuh kebangkitan Kelantan.

“Tetapi pada akhirnya kita melepaskan dua gol menerusi set-piece menuju ke minit-minit akhir perlawanan. Kelekaan kita sebenarnya ketika gol pertama Kelantan tiada pemain memberi saingan kepada pemain mereka, begitu juga gol kedua.

“Mungkin itulah satu-satu kelemahan kita pada perlawanan ini. Kita telah bertahan dengan baik sejak daripada awal, tetapi itulah bolasepak,” kata Yusri Che Lah.

Yusri Che Lah bagaimanapun memuji barisan pemainnya kerana bermain dengan lebih yakin dan mengikut perancangan di sebalik bergelut dengan cuaca panas dan juga permukaan padang yang menurutnya agak keras.

“Mereka dapat menyerap dan mengekang asakan Kelantan, malah di separuh masa kedua sebelum kami menjaringkan gol pembukaan, pasukan saya banyak mendominasi permainan namun selepas jaringan dihasilkan mereka kelihatan sedikit takut (gugup) untuk mempertahankan kelebihan jadi harapnya mereka keluar daripada perasaan sedemikian selepas ini,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Foto ehsan : Sportflex Malaysia

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.