KL City Malukan JDT Untuk Rangkul Piala Malaysia Edisi Ke-100

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kuala Lumpur City melakar sejarah gemilang muncul juara edisi ke-100 Piala Malaysia setelah mengejutkan pasukan pilihan Johor Darul Takzim 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Kemenangan buat skuad bimbingan Bojan Hodak itu juga menyaksikan mereka menoktahkan penantian selama 32 tahun untuk menjulang piala berprestij itu, setelah kali terakhir melakukannya pada 1989.

Manakala bagi Bojan Hodak sendiri, ini adalah kali kedua beliau mendakap trofi Piala Malaysia setelah melakukannya bersama Kelantan pada 2012.

JDT bimbingan Benjamin Mora pula tewas buat kali kedua dalam empat penampilan di final, sekaligus gagal untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada 2019.

Dalam aksi di hadapan kira-kira 20,000 penyokong, babak awal permainan didominasi JDT yang mencipta beberapa peluang jaringan termasuk menerusi Bergson da Silva pada minit kesembilan yang terkena tiang.

KL City kemudiannya berjaya mengimbangi permainan dan memastikan kedudukan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Di separuh masa kedua, KL City tampil lebih kemas dan mencipta dua percubaan tepat, dengan kedua-duanya menghasilkan jaringan.

Minit ke-66, Zhafri Yahya menolak masuk dari jarak dekat menewaskan Farizal Marlias di gawang Harimau Selatan setelah menerima hantaran daripada J.Partiban.

Gol itu membuatkan perlawanan bertambah rancak apabila JDT menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan namun sebaliknya KL City yang berjaya menambah jaringan menerusi kapten pasukan Paolo Josue.

Paolo Josue menerima hantaran dilakukan pemain gantian Hadin Azman dan merembat rendah menewaskan Farizal sekali lagi pada minit ke-74.

JDT meskipun cuba bangkit, pada hakikatnya gagal mencipta sebarang percubaan tepat sehinggalah minit ke-90 menerusi percubaan akrobatik Syafiq Ahmad yang diselamatkan Kevin Mendoza.

Sebelum perlawanan berakhir, Bojan Hodak menghadiahkan penampilan buat Shukor Adan yang dimasukkan menggantikan Kenny Palraj, lantas menjadikannya sebagai pemain paling banyak beraksi di perlawanan akhir.

KL City utuh bertahan dan memastikan kejuaraan milik mereka, menewaskan sebuah pasukan yang dianggap pilihan mutlak.

Kesebelasan utama JDT :

Farizal Marlias, Matthew Davies, Shane Lowry, Mauricio, S.Kunanlan (Corbin Ong), Arif Aiman, Afiq Fazail (Nazmi Faiz), Natxo Insa, Leandro Velazquez, Safawi Rasid, Bergson Da Silva

Kesebelasan utama KL City :

Kevin Mendonza, Daniel Ting, Kamal Azizi, Ryan Lambert, Giancarlo Gallifuoco, Akram Mahinan, Kenny Palraj, J.Partiban (Hadin Azman), Zhafri Yahya (Arif Shaqirin), Paolo Josue, Romel Morales

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.