KL City nak naturalisasikan Paolo Josue sebab nak bantu Harimau Malaya

Paolo Josue
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kapten Kuala Lumpur City FC, Paolo Josue bakal bergelar pemain naturalisasi tidak lama lagi.

Pemain dari Brazil berusia 32 tahun itu telah bermain di Liga Malaysia sejak 2017 dan KL City berpendapat menaturalisasikan pemain itu juga akan membantu memperkasa Harimau Malaya.

“Perkara ini adalah sesuatu yang ingin kita sempurnakan dalam usaha membantu skuad kebangsaan dan kita bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi memastikan Josue menjadi pemain naturalisasi negara kelak.

“Tambahan pula, ini adalah tahun kelima dia beraksi bersama KL dan kalau ikutkan dia telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk dijadikan pemain naturalisasi.

“Namun, kami perlu memastikan Josue berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum bergelar pemain naturalisasi agar dia sentiasa menjadi pilihan untuk beraksi dalam kesebelasan utama,” kata ketua pegawai eksekutif KL City FC, Stanley Bernard Samuel kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, Liga Malaysia ketika ini mempunyai tiga pemain naturalisasi dalam kelibat Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula, ketiga-tiganya pemain Johor Darul Takzim.

Jumlah pemain naturalisasi dijangka bertambah pada tahun depan dengan beberapa lagi pemain seperti Sergio Aguero, Lee Tuck, Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos semuanya berpotensi dinaturalisasikan.

Namun Persatuan Bolasepak Malaysia perlu menilai secara serius adakah semua pemain bergelar naturalisasi layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya atau mereka mungkin lebih sesuai untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan sahaja dalam Liga Malaysia apatah lagi ketiga-tiga De Paula, Sumareh dan Liridon tidak menepati ekspetasi di peringkat antarabangsa.

Sebagai rekod, sejak menyarung jersi KL City pada 2017, Paolo Josue telah menjadi pemain tonggak skuad warga kota itu dan membantu pasukan itu menjulang Liga Premier.

Baru-baru dia mencuri tumpuan apabila meledak hatrik ketika KL City menewaskan Penang FC 3-1 dalam aksi Liga Super 2021, walaupun posisi penyerang bukan posisi sebenarnya.

Sebelum ini dia pernah menyatakan mahu bermain dengan KL City selagi khidmat diperlukan dan sebolehnya mahu menamatkan karier bersama pasukan itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.