KL United tukar nama dan logo beberapa hari selepas dapat kepakaran Annuar Musa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hanya sehari sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021, pasukan Kuala Lumpur United FC menukar nama mereka kepada Kuala Lumpur City FC dan akan menggunakan logo baru.

Perkembangan itu disahkan Malaysian Football League (MFL) yang memaklumkan bahawa pindaan nama dan logo itu telah diluluskan pihaknya.

Kuala Lumpur City FC dianggap sebagai salah satu pasukan tumpuan dalam saingan Liga Super 2021 berikutan persiapan gah mereka termasuk kejayaan mendapatkan beberapa nama besar seperti Safee Sali, Hadin Azman, Irfan Zakaria, Romel Morales dan Dominique Da Sylva.

Mereka juga mengekalkan pemain tonggak antaranya Shukor Adan, Indra Putra Mahyuddin, Akram Mahinan dan Paolo Josue manakala bekas pengendali Skuad B-19 kebangsaan Bojan Hodak pula dilantik sebagai ketua jurulatih.

Menariknya baru sahaja minggu lepas pasukan itu melantik bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden kelab dan perubahan ini dilihat sebagai satu daripada usaha pertama Tan Sri Annuar untuk memacu Kuala Lumpur City FC pergi lebih jauh.

“Tan Sri Annuar Musa seorang yang kaya pengalaman, memahami asam garam bola sepak tempatan serta pernah mengecapi kejayaan gemilang bersama Kelantan.

“Justeru, KL United mengambil peluang dengan melantik Annuar bagi memberikan ‘tunjuk ajar’ serta nasihat dalam membentuk skuad ibu kota yang serba baharu ini dalam menetapkan visi, misi, hala tuju dan memastikan kelab yang telah diswastakan ini berada dalam landasan yang tepat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City, Stanley Bernard Samuel dalam satu laporan oleh sukanz.com.

Sebagai rekod, Kuala Lumpur City FC yang layak beraksi di Liga Super musim ini atas tiket naib juara Liga Premier musim lalu, akan membuka tirai saingan pada Sabtu dengan turun menentang Pulau Pinang FC.
Kali terakhir pasukan warga kota beraksi di Liga Super adalah pada tahun 2019 yang mana mereka menamatkan musim di kedudukan tercorot, namun dengan skuad yang mereka ada kali ini dilihat mempunyai keupayaan untuk mencabar kedudukan empat teratas. 
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.