Klausa Pelepasan Faisal Halim Mencecah Jutaan Ringgit

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika benar ada kelab Eropah mahu mendapatkan khidmat Faisal Halim dari Terengganu FC, mereka perlu bersedia untuk mengaktifkan klausa pelepasan pemain itu yang mungkin mencecah jutaan ringgit.

Pengurus pasukan Terengganu FC, Zulkifli Rozi berkata kepada Nadi Arena bahawa mereka sedia berbincang dengan ejen pemain itu untuk menetapkan klausa pelepasan jika ada yang mahu merisik khidmatnya secara rasmi.

“Klausa ini (tidak semestinya) melibatkan pampasan yang banyak, ia memerlukan persetujuan kelab dengan pemain.

“Apabila mahu meletakan jumlah tertentu, ia harus mendapat persetujuan daripada kelab dan pemain. Ia mungkin boleh melebihi enam angka. Kalau tengok pasaran dunia sekarang boleh mencecah jutaan ringgit.

“Walaupun ia melibatkan pemain di Eropah tapi ia sebenarnya tiada had, cuma terpulang kepada kepada pemain dan kelab,” ujarnya.

Spekulasi bahawa ada beberapa kelab Eropah mahu berminat dengan khidmat Faisal Halim didendangkan ejennya dari Estrada Sports Agency yang mengatakan dua kelab telah menghubunginya untuk bertanyakan status pemain itu susulan aksi lincah bertemu Jordan.

Berita Berkaitan : Faisal Halim Dalam Radar Kelab Eropah

Malah rata-rata penyokong, dan tidak ketinggalan Tan Cheng Hoe juga memuji penampilannya dalam dua aksi antarabangsa termasuk menentang Uzbekistan pada minggu lalu walaupun Malaysia tewas kedua-dua perlawanan.

Faisal Halim sendiri bersedia menyahut cabaran bermain di luar negara jika peluang itu tiba.

“Semua orang memberi kata-kata positif kepada saya, mereka menggalakkan saya supaya ke sana. Sejujurnya memang ejen dari Sepanyol itu ada menghubungi saya tapi saya belum tahu lagi perinciannya, kalau ada rezeki saya memang mahu ke sana.

“Selepas habis liga, baru saya fikirkan tawaran ini. Kalau betul ada rezeki, ada peluang bermain di luar negara, saya tidak akan tolak,” katanya yang menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super.

Faisal Halim memulakan kariernya bersama Penang FC sebelum diikat selama lima tahun oleh Sri Pahang FC dan kemudiannya menyertai Terengganu FC selepas kontraknya berakhir hujung musim lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.