Pengurus Liverpool Juergen Klopp menyelar dua stesen televisyen British – Sky dan BT – di atas penjadualan perlawanan yang menurutnya menyebabkan masalah kecederaan pemain semakin parah.
Ketika ditanya oleh SkySports mengenai sebab dia membuat dua pertukaran hanya pada minit ke-89 ketika pasukannya menewaskan Leicester City 3-0, Klopp menyatakan terlalu banyak perlawanan dalam tempoh singkat menyebabkan dia terpaksa berhati-hati.
“Kenapa saya lambat membuat pertukaran, kerana saya sentiasa perlu berfikir bagaimana jika ada pemain alami kecederaan. Saya tak boleh buat pertukaran awal, bila tukar awal, pertukaran dah habis tetapi kemudian ada pemain cedera, akhirnya kita mungkin tamatkan perlawanan dengan 10 atau 9 pemain.
“Sky dan BT perlu segera berbuat sesuatu, atau keadaan akan menjadi bertambah buruk. Ini bukan semata-mata mengenai pemain Liverpool, tetapi pemain anda (England) serta pemain-pemain yang akan bermain di Kejuaraan Eropah pada tahun depan.
“Jika kita terus bermain setiap Rabu dan Sabtu pada jam 12.30 (tengah hari), saya khuatir adakah kita akan tamatkan musim dengan 11 pemain. Ini adalah isunya dengan semua pasukan, tetapi saya tahu kamu (stesen TV) tidak peduli tentang semua itu dan itulah masalahnya,” tegas Klopp.
Pandemik Covid-19 telah menyebabkan perubahan besar pada kalendar bolasepak Inggeris di mana saingan hanya ditamatkan pada bulan Julai lalu manakala jadual saingan musim baru menjadi lebih padat berbanding kebiasaan.
Pengendali dari Jerman itu percaya penjadualan perlawanan Liga Juara Eropah yang disiarkan oleh BT, serta perlawanan EPL yang disiarkan Sky dan BT, meletakkan tekanan tinggi ke atas pemain dan menggalakkan risiko kecederaan.
Liverpool sendiri telah kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan antaranya Virgil Van Dijk, Joe Gomez, Jordan Henderson, Thiago Alcantara dan Trent Alexander Arnold dan terbaru pemain tengah Naby Keita juga dikeluarkan kerana kecederaan ketika menentang Leicester City pada Isnin.
“Orang kata kami boleh buat penggiliran pemain, tapi siapa? Semua pemain pertahanan cedera, yang tinggal pemain barisan depan, selebihnya budak-budak, nak gilirkan siapa? Tidak mengapa, kami teruskan saja dengan apa yang kami ada, tetapi kalau kami (stesen TV) tidak cuba mencari solusi, tengok sahajalah apa yang akan terjadi.
“Jangan jadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk kata susah nak meminda jadual perlawanan, hakikatnya yang susah sekarang adalah pemain-pemain, kamu hanya perlu duduk di meja dan membuat keputusan,” katanya lagi.
Rujukan : TheStar (Klopp blasts broadcasters over hectic match schedule)