Kontak Rapat Dengan Akhyar, Harap Safawi Rasid Tidak Jadi Mangsa Baru

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap skuad negara, Safawi Rasid diharap tidak menjadi mangsa terbaru jangkitan Covid-19 berikutan dia adalah teman sebilik dan kontak rapat kepada Akhyar Rashid yang ketika ini sedang dikuarantin selama 10 hari kerana disahkan positif wabak berkenaan.

“Memang pemain di sini duduk satu bilik dua orang. Memang duduk sekali (Safawi dan Akhyar), tapi benda ini kita tak pasti lagi adakah 100 peratus boleh berjangkit.

“Buat masa ini Safawi dalam keadaan yang terbaik. Safawi pun tak cakap apa-apa tentang tahap kesihatan, nampak dia sihat dan bersemangat. Pemain-pemain lain pun sama, tak ada sebarang simptom,” kata ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Justeru itu, Cheng Hoe memberitahu situasi Safawi Rasid yang kini memimpin carta jaringan Piala AFF dengan empat gol serta pemain-pemain lain akan dipantau rapi supaya tidak berlaku peningkatan pemain dijangkiti Covid.

Tambah Cheng Hoe lagi, “Itulah cabaran yang kita terpaksa lalui. Setiap hari kena buat ujian calitan untuk pastikan semua dalam keadaan baik kerana jangkitan Covid-19 ini kita tidak tahu dari mana ia datang.

“Sudah pasti kita masih mengharapkan keadaan terbaik dan terkawal supaya tiada lagi jangkitan selepas ini. Benda ini kita tak boleh elak, kita masih dalam gelembung latihan dan perlawanan.

“Kalau kita lihat (kemenangan) dua perlawanan lepas sudah tentu sedikit sebanyak meletakkan pemain dalam keadaan terbaik dan memang kemungkinan dari sesetengah pemain ada yang risau.

“Tapi melihat cara mereka bermain, berlatih, suasana dalam dan luar padang cukup baik. Kita harap suasana itu dapat mengatasi segala cabaran di depan mata kita dan kita sentiasa berdoa supaya pasukan berada dalam keadaan terbaik,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Skuad negara pada mulanya kehilangan khidmat Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid untuk dua aksi pertama kerana positif Covid-19, tetapi selepas perlawanan pertama Akhyar dan Quentin Cheng pula masuk ke dalam senarai.

Ini menyebabkan Harimau Malaya cuma mempunyai 19 pemain untuk terus menggalas cabaran meskipun Faisal Halim dijangka kembali menjelang pertembungan getir menentang Vietnam, manakala Khairulazhan pula akan digantikan oleh penjaga gol lain.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe menjelaskan semua pemain perlu bersedia sekiranya ada di antara mereka terpaksa diletakkan beraksi di posisi berbeza dari posisi sebenar.

“Kita yakin semua pemain ada motivasi yang terbaik untuk mengisi kekosongan dan setiap pemain kena bersedia menghadapai cabaran kali ini, ia memang cukup mencabar.

“Memang kita ada buat rayuan untuk ganti pemain (yang positif COVID-19) tapi kita juga perlu menghormati polisi yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.