Kontrak Disambung Melaka United Setelah Cemerlang Di Piala Malaysia!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Teka-teki dan spekulasi mengenai masa depan tonggak import, Sony Norde terlerai apabila Melaka United menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Justin Lim mengesahkan menyambung kontrak pemain dari Haiti itu.

Kecemerlangan ditunjukkan pemain itu di pentas Piala Malaysia apabila menjadi antara nadi utama yang membantu pasukan Melaka United mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 38 tahun dilihat memainkan peranan penting dalam keputusan itu dibuat.

Penyokong Melaka United juga boleh menghela nafas lega setelah pihak pengurusan turut mengekalkan khidmat dua lagi pemain import iaitu Manuel Ott dan Adriano Nascizo, tatkala Giovane Gomes pula digugurkan.

Belum ada kata putus mengenai masa depan pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jan Suk Woon, dengan pemain itu difahamkan turut menarik minat beberapa kelab Liga Malaysia yang lain termasuk Kedah Darul Aman.

Sementara itu, bagi menambah sengat di barisan depan, Melaka United juga kembali merekrut Ifedayo Olusegun, yang muncul penjaring terbanyak Liga Super 2021 bersama Selangor.

Pemain dari Nigeria itu sebelum ini pernah menyarung jersi hijau putih pada tahun 2018 dan telah bersama Selangor sejak tahun 2019.

Tahun lalu dia memenangi kasut emas dengan 12 gol dan mengekalkan gelaran penjaring terbanyak pada musim ini dengan ledakan 24 gol, satu mengatasi Bergson Da Silva.

Sebagai rekod, Melaka United pada tahun ini menamatkan kempen Liga Super di tangga kelapan manakala cabaran di Piala Malaysia berakhir di peringkat separuh akhir setelah kecundang kepada KL City menerusi penentuan sepakan penalti.

Pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan itu sebelum ini dilaporkan hampir pasti akan kehilangan khidmat penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang dikaitkan dengan perpindahan mega ke Sabah FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.