Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakKontrak hampiri penghujung, Ifwat Akmal terdesak buktikan kredibiliti

Kontrak hampiri penghujung, Ifwat Akmal terdesak buktikan kredibiliti

Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Ifwat Akmal Che Kassim bersedia untuk kembali merebut posisi penjaga gol utama sebaik sahaja Liga Super bersambung.

Dengan kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini, penjaga gol berusia 25 tahun itu sedar dia perlu membuktikan sesuatu demi memastikan kariernya kembali berada pada landasan yang betul.

Ifwat hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan ketika perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Mac lalu sebelum dihimpit kecederaan lutut kiri yang memaksanya berehat lama.

Dia mengakui betapa penting untuk mengelak sebarang kecederaan serius berlaku sekali lagi kerana musim lepas turut mengalami kecederaan bahu dan dia tidak mahu peluangnya terus terbatas.

“Kontrak saya dengan Kedah sampai hujung tahun ini sahaja, sebab itu penting untuk saya membuktikan sesuatu kepada pasukan bahawa saya juga mampu. Saya kena buat yang terbaik untuk musim ini dan selepas itu baru fikir tentang hala tuju,” kata bekas penjaga gol skuad B-23 kebangsaan itu.

Sepanjang ketiadaannya, posisi penjaga gol utama menjadi milik Shahril Saari yang tampak konsisten dalam setiap perlawanan sekaligus menyukarkan Ifwat kembali ke dalam kesebelasan utama.

Namun, Ifwat Akmal melihat persaingan itu sesuatu yang positif untuknya bekerja lebih keras bagi mencuri perhatian pengendali, Aidil Sharin Sahak untuk kembali meletakkan kepercayaan kepadanya dalam perlawanan akan datang.

“Persaingan itu saya lihat secara sihat kerana masing-masing pasti akan mendapat peluang dan semuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Sasaran saya adalah supaya peluang saya untuk kembali beraksi lebih cerah selepas liga bersambung kerana sudah lama saya terlepas perlawanan pada musim ini.

“Memandangkan Piala AFC belum bermula, jadi saya kena rebut peluang ini dengan segera supaya nanti perlawanan penting juga saya dapat diberi kepercayaan untuk diturunkan.

“Sekarang pun, saya sudah betul-betul pulih dan tiada masalah sekiranya untuk beraksi, jadi saya percaya peluang saya akan ada sebaik sahaja perlawanan kembali bersambung”, tambah Ifwat Akmal.

Sebagai rekod, KDA FC ketika ini berada di tangga ketiga Liga Super, satu mata di belakang Terengganu FC dan empat mata di belakang pendahulu Johor Darul Takzim.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.