Kpah Sherman : Tidak professional dedah gaji pemain kepada umum

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Kedah, Kpah Sherman menganggap tindakan mendedahkan gaji pemain kepada umum adalah tindakan tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad lalu mendedahkan ada pemain menerima gaji sehingga mencecah RM125,000 dan mempersoalkan kewajaran pengurusan lama KFA menawarkan jumlah tersebut kepada pemain pasukan itu.

Sambil menafikan dia adalah pemain menerima gaji setinggi itu sepertimana diperkatakan penyokong, Kpah Sherman kecewa melihat impak pendedahan yang dibuat itu kepada moral pemain.

“Mulanya saya tidak mahu memberi apa-apa komen, tetapi terdapat khabar angin di luar sana yang menyatakan gaji saya kononnya mencecah RM125,000. Saya mahu nyatakan ini tidak benar.

“Lain kali sesiapa yang yang membuat berita berkenaan sila rujuk terlebih dahulu untuk mendapat kepastian.

“Jika sekalipun seorang pemain itu mencapai tahap gaji sebegitu, adalah tidak profesional untuk mendedahkan ia kepada umum ataupun media. Ini tidak profesional,” ujarnya dipetik dari BH Online.

Tambahnya lagi kepada Labola Malaya, “Gaji pemain adalah privasi antara pihak pengurusan dan pemain, majikan dan pekerja, tengok sendiri pelbagai kenyataan negatif kedengaran setelah ia tersebar dan ini menjejaskan motivasi pemain. Sudahlah gaji tak dapat, dipersoal pula”.

Kpah Sherman yang muncul penjaring terbanyak Liga Super 2019 menyertai skuad Lang Merah pada awal musim ini dan telah menjaringkan tiga gol sebelum liga ditangguhkan.

Pasukan kendalian Aidil Shahrin Sahak itu membuat revolusi besar dengan merekrut pemain berprofil tinggi tempatan dan import termasuk Hadin Azman, Irfan Zakaria dan Kipre Tchetche disebabkan layak beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara Asia 2020.

Namun cabaran mereka tersekat di peringkat playoff setelah kecundang kepada FC Seoul, walaupun sebelum itu membelasah Tai Po FC 5-1 di pusingan kedua kelayakan.

Sementara itu, Kpah Sherman meletak harapan tinggi pengurusan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung tunggakan gaji lima bulan sebelum Liga Super kembali bersambung pada 26 Ogos.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.