Kim Pan-gon mengumumkan ‘call-up’ pertamanya selepas dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan apabila menyenaraikan 30 pemain bagi mengharungi aksi persahabatan antarabangsa bulan ini.
Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan antarabangsa menentang Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu perlawanan menentang pasukan kelab Albirex Niigata FC pada 28 Mac, ketiga-tiganya di Singapura.
Daripada senarai tersebut, Kim Pan-gon menyenaraikan 14 pemain skuad juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan beberapa nama yang disisihkan sebelum ini dipanggil semula termasuk Farizal Marlias, Mohamadou Sumareh dan Lave’re Corbin Ong.
Malah bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim turut disenaraikan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu selepas kali terakhir mewakili harimau malaya dalam aksi persahabatan pada Mac 2018.
Pemain skuad harimau selatan yang lain termasuklah Syahmi Safari, Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Syamer Kutty Abba, Shio Hong Wan, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah.
Bagaimanapun hasrat penyokong untuk menyaksikan kelibat penyerang naturalisasi kesayangan, Guilherme De Paula tidak kesampaian apabila namanya tiada dalam senarai kali ini.
Antara pemain lain yang pernah digugurkan oleh Tan Cheng Hoe tetapi kembali dipanggil adalah Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke kelab India, serta pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih.
Selangor FC, Terengganu FC dan PJ City FC masing-masing mempunyai tiga wakil tetapi beberapa pemain yang berhijrah ke Sabah FC iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi Che Mat kesemuanya digugurkan.
Berikut senarai penuh 30 pemain disenaraikan Kim Pan-gon :

Pemain-pemain yang disenaraikan ini akan melapor diri di kem latihan pada 14 Mac dan berlepas ke Singapura pada 22 Mac.
Kim Pan-gon turut menyenaraikan 10 pemain dalam senarai menunggu iaitu empat pemain KL City (Kenny Palraj, Zhafri Yahya, Hadin Azman, Akram Mahinan); dua pemain Negeri Sembilan Ahmad Khuzaimi Pie dan Ahmad Syihan; Rizal Ghazali (Sabah FC); Ruventhiran (PJ City); Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Melaka United).