Kredit Buat V.Murugan Atas Peningkatan Prestasi Kalamullah Al-Hafiz

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi antara nama baru mendapat panggilan ke kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Oktober nanti.

Dia disenaraikan bersama-sama dua penjaga gol berpengalaman iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Khairul Azhan Khalid bagi dua aksi persahabatan menentang Jordan (6 Oktober) dan Uzbekistan (10 Oktober) tatkala Tan Cheng Hoe membuat keputusan tidak memanggil Farizal Marlias dan Samuel Somerville.

Pemain berasal dari Kelantan itu berjaya memikat barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan setelah tampil dengan prestasi impresif dan menyakinkan apabila mencatat lapan clean sheet dalam 19 penampilan bersama PJ City yang membariskan sepenuhnya pemain tempatan.

Kalamullah telah bersama pasukan PJ City sejak 2019 dan digilirkan dalam kesebelasan utama tahun lalu bersama-sama Syihan Hazmi dan Damien Lim, tetapi ianya pada tahun ini prestasinya dilihat menunjukkan peningkatan ketara membolehkannya mengenggam erat posisi nombor satu.

Kecemerlangan Kalamullah Al-Hafiz dibantu dengan kehadiran bekas penjaga gol kebangsaan, V.Murugan sebagai jurulatih penjaga gol pasukan PJ City.

V.Murugan bukanlah nama asing dalam kancah bolasepak tempatan, dan dia menggunakan sebaik mungkin pengalaman luasnya untuk mengetengahkan potensi dalam diri Kalamullah.

SIAPA V.MURUGAN?

V.Murugan dikesan bakatnya oleh Datuk M.Karathu yang membawanya ke dalam skuad Perak pada 1990, di mana dia memenangi Piala FA pada musim sulungnya di Liga Malaysia.

V.Murugan juga memenangi Piala Malaysia dua kali bersama Selangor pada 1995 dan 1996 serta sekali bersama Perak pada 1998.

Dia juga dua kali menjulang Piala FA bersama Kuala Lumpur pada 1993 dan 1994 selain memenangi Liga Perdana Dua bersama Public Bank Selangor pada 2003.

Pada 2006, V.Murugan bukan sahaja membantu Melaka layak ke Liga Super buat pertama kali tetapi dia turut mencipta sejarah sebagai pemain tertua untuk beraksi di pentas tertinggi Liga Malaysia pada usia 43 tahun – rekod yang masih bertahan sehingga kini.

Antara pasukan lain pernah diwakili V.Murugan termasuklah Negeri Sembilan, PDRM dan Telekom Melaka.

Selepas bersara sebagai pemain, V.Murugan berjinak-jinak dalam bidang kejurulatihan dan pada awalnya merupakan penolong jurulatih penjaga gol dalam skuad MIFA-MISC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.