Krisis pertahanan meruncing, pemain ‘buangan’ Arsenal mungkin jadi pilihan terdesak Liverpool

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Krisis pertahanan yang semakin meruncing tampak akan menyaksikan Liverpool membuat pembelian terdesak minit akhir sebelum tarikh tutup jendela perpindahan kedua Liga Perdana Inggeris pada Isnin.

Skuad The Reds sudah sedia kehilangan khidmat tonggak di benteng dalam kelibat Virgil Van Dijk dan Joe Gomez sejak awal musim, dan kecederaan terbaru dialami Joel Matip ketika perlawanan menentang Tottenham Hotspurs Khamis lalu, mungkin akan menekan mereka untuk mencari solusi jangka pendek.

Untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi pada saat akhir jendela perpindahan pertengahan musim memang diketahui sesuatu yang sangat sukar, justeru media antarabangsa melaporkan ‘buangan’ Arsenal Shkodran Mustafi antara pilihan dalam pertimbangan.

Pemain Jerman itu memasuki tempoh enam bulan terakhir kontraknya di Emirates, malah Arsenal sendiri dilaporkan bersedia melepaskan pemain berusia 28 tahun itu.

Meskipun datang dengan reputasi hebat selaku pemenang Piala Dunia 2014 dan menjadi pemain utama pada musim sulung, Mustafi tidak mengharungi perjalanan karier yang hebat di Arsenal, dan kini dia sudah jatuh menjadi pilihan kelima di pertahanan tengah di belakang David Luiz, Rob Holding, Gabriel Magalhaes dan Pablo Mari.

Dia hanya membuat tiga penampilan dalam musim yang berlangsung ketika ini kesemuanya sebagai pemain gantian, dengan aksi terakhir adalah pada Boxing Day menentang Chelsea yang mana Arsenal menang 3-1 di Emirates.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp mungkin tidak mahu mencari seorang pemain yang tidak arif dengan EPL pada saat genting ini tatkala Liverpool sedang berusaha keras untuk mengejar Manchester City dan mempertahankan kejuaraan liga. Dia ketika ini hanya memiliki Fabinho yang bukannya pemain pertahanan tulen, serta dua pemain muda Nathaniel Philips dan Rhys Williams.

Ditambah ‘Germany-Connection’ antara kedua-dua mereka, ia mungkin memudahkan rundingan untuk berlaku tetapi Liverpool dikatakan belum menghubungi Arsenal berhubung pembelian pemain itu yang turut menjadi perhatian beberapa kelab Eropah lain termasuklah Lazio.

Arsenal juga mungkin bersedia melepaskan pemain itu secara percuma bagi mengurangkan bebanan kewangan kelab.

Sebagai rekod, Mustafi menyertai Arsenal pada musim panas 2016 dan membuat lebih 102 penampilan secara keseluruhan dalam tempoh 4 musim di kelab London itu, menjulang Piala FA sebanyak dua kali manakala bersama Jerman dia turut memenangi Piala Konfederasi 2017.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.