Kuching Ganti Sarawak United Di Liga Super?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Seorang individu bernama Wazien Wafa mendakwa bahawa pasukan Sarawak United tidak akan mendapat lesen daripada Malaysian Football League (MFL) untuk beraksi di Liga Super 2022 berikutan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatihnya.

Malah individu itu mendedahkan Sarawak United turut tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sejak tahun 2020 selain tidak mengambil insurans pemain seperti diwajibkan kepada semua pasukan.

“Pemain tidak dibayar gaji sejak Julai, pemain tidak dibayar gaji sejak Jun. Pemain dan pegawai pasukan tidak dibayar bonus kemenangan 7 perlawanan.

“EPF tidak dicarum sejak 2020, tidak ada insurans dibayar untuk para pemain. Pasukan tidak berlatih dalam gelembung kerana tidak membayar penginapan.

“MFL memberi amaran akan menarik balik lesen kelab itu untuk beraksi di Liga Super 2022. Sarawak United akan kekal di Liga Premier, Kuching akan menggantikan mereka di Liga Super,” tulis Wazien Wafa di media sosialnya.

Sarawak United 1 Kuching Ganti Sarawak United Di Liga Super?

Sebagai rekod, Sarawak United mengesahkan tempat di Liga Super musim depan selepas muncul naib juara Liga Premier 2021, di belakang Negeri Sembilan.

Musim ini mereka diperkuatkan ramai pemain berprofil tinggi antaranya Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu. Sharbinee Allawee, Amer Saidin, Gopi Rizqi Ramachandra dan Sandro Mendonca.

Pendedahan dibuat Wazien Wafa, bagaimanapun pantas mendapat respon dari Sarawak United, dengan pengerusi pasukan itu Dato’ Posa Majais menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

“Pihak pengurusan Sarawak United FC menafikan sekeras-kerasnya berlaku tunggakan gaji di kalangan pemain serta jurulatih sejak Julai 2021. Untuk pengetahuan bayaran gaji kesemua pemain, jurulatih dan pegawai telah dibayar penuh.

“Untuk bulan Ogos, pembayaran sedang dilakukan pada ketika ini dan pengemaskinian akaun Sarawak United sedikit ‘kurang teratur’ dan memerlukan penelitian memandangkan ada pemain telah memohon pendahuluan gaji Ogos terlebih awal pada bulan lepas.

“Tambahan, penelitian dan kemaskini yang tepat memerlukan perhatian bagi memudahkan semua pihak yang terlibat di bahagian kewangan.

“Sebagai sebuah pengurusan yang sentiasa peka dan bertanggungjawab, pihak kami sentiasa memastikan kebajikan kesemua ahli keluarga SUFC baik dari segala segi dan kami sangat menekankan perkara ini sebagai keutamaan.

“Memang tidak dinafikan pernah berlaku sedikit kesilapan dan kadangkala kelewatan tetapi tidak bermakna pihak kami alpa akan tanggungjawab pengurusan sesebuah kelab,” menurut Posa Majais dalam satu kenyataan.

Beliau juga memberitahu pihak pengurusan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Wazien Wafa kerana lemparan fitnah ini telah menjejaskan imej dan kredibiliti pasukan.

“Surat/tindakan saman akan diserahkan kepada individu tersebut pada Isnin (27 September) oleh peguam SUFC sebagai pengajaran kepada individu ini yang sebelum ini pernah tular ekoran gemar masuk campur dalam pengurusan kelab-kelab lain tidak hanya SUFC sahaja.

“Langkah ini diambil sebagai peringatan agar tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi yang boleh menjatuhkan Sarawak United ketika ini. Pesanan dari kami, tidak pasti jangan buat andaian sendiri dan berhenti mencari spekulasi murahan.

“Untuk penyokong setia Sarawak United, walaupun kami bukan kelab sempurna, diharapkan sokongan anda akan berterusan bukan sahaja untuk perjuangan pemain tetapi juga sebagai sumber kekuatan kesemua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membina semula empayar bolasepak Sarawak ke peringkat yang boleh dibanggakan kelak,” tambah Posa Majais.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.