KUFC semakin tercicir, import gagal skor peluang 1 vs 1 buat Zahasmi kecewa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Lebih lima bulan tanpa aksi kompetitif, Kelantan United nampaknya sudah hilang sengat dan bukan lagi pasukan yang sama sepertimana disaksikan pada awal musim.

Sebelum Liga Malaysia dihentikan kerana penularan Covid-19, skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu gah mencatat tiga kemenangan dari empat perlawanan untuk melonjak ke tangga kedua, malah dilabel pasukan pilihan ke Liga Super.

Sebaik saingan kembali bersambung, mereka tewas 2-3 kepada JDT II di gelanggang lawan pada 29 Ogos lalu dan terbaru tewas lagi, kali ini di laman sendiri, 0-2 kepada  Kuala Lumpur.

Ia sekaligus menyaksikan Kelantan United semakin jauh ketinggalan dari kelompok dua teratas. Dengan sembilan mata, mereka dipisahkan lima mata di belakang Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang mengumpul 14 mata masing-masing.

Walaupun berpuas hati dengan permainan ditunjukkan pemainnya dalam kedua-dua kekalahan kepada JDT dan KL, ada sikit nada kecewa dalam kenyataan Zahasmi berhubung sentuhan penyudah pasukannya.

Lebih malang, kegagalan penyerang import Selwan Sinan Chasib Al Jaberi menyempurnakan peluang keemasan untuk mengikat kedudukan memberi peluang kepada KL untuk melakukan serangan balas dan beroleh gol kedua.

“Kalah menang adat perlawanan, pemain saya memberi tentangan sengit, tetapi ianya perkiraan mudah, pasukan mana banyak buat silap dia kalah. Bermain baik macam mana sekalipun pada akhirnya kita tengok pada keputusan, kita tidak mendapat keputusan yang dimahukan.

“Kita ada peluang untuk skor gol, tapi penyudah bermasalah, menyebabkan berlaku serangan balas, kita buat kesilapan. Kita lepaskan gol kerana kesilapan sendiri.

“Seorang pemain import tidak sepatutnya mensesiakan peluang seperti itu, dia sepatutnya boleh skor, kita sedang ketinggalan 1-0, dia mempunyai peluang 1 lawan 1 dengan penjaga gol tapi gagal sudahkannya, itu punca serangan balas.

“Kalau Selwan dapat jadikan kedudukan 1-1 ia adalah berbeza, mungkin kita boleh bangkit semula. Ia menjejaskan moral pemain, dalam perlawanan ini psikologinya adalah di sentuhan penyudah,” ujar Zahasmi.

Dengan hanya berbaki lima lagi perlawanan untuk diharungi, ia tampak sukar untuk Kelantan United merealisasikan impian ke Liga Super tetapi Zahasmi optimis mereka dapat untuk menamatkan aksi di kelompok lima terbaik seterusnya layak bermain di Piala Malaysia.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.