Kurang seminggu selepas tandatangan, Santos batalkan kontrak Robinho kerana kes rogol

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru sahaja beberapa hari lalu, kelab Brazil Santos mengumumkan telah menandatangani khidmat penyerang veteran Robson de Souza atau popular dengan panggilan Robinho.

Pemain berusia 36 tahun itu menyertai semula kelab yang mula-mula mengetengahkan bakat luar biasanya itu selepas meninggalkan mereka pada 2005 untuk bermain dengan beberapa pasukan gergasi seperti Real Madrid, Manchester City dan AC Milan.

Baca : Bekas penyerang Brazil Robinho kini dibayar sekitar RM1,100 sebulan

Dia menandatangani kontrak pendek selama lima bulan (sehingga berakhir Liga Brazil) dengan jumlah bayaran €230 (RM1,126) sebulan dengan bonus dan peluang penyambungan kontrak jika semuanya berjalan lancar.

Tetapi pihak penaja pasukan nampaknya sangat kurang senang dengan keputusan Santos menandatangani seorang pemain yang telah disabitkan dengan kesalahan merogol di Itali pada 2017 dan memberi tekanan supaya kontrak pemain itu dibatalkan, atau berpotensi menarik diri daripada terus terlibat sebagai penaja.

Malah penyokong pasukan itu serta beberapa ‘public figure’ dan selebriti turut mempertikai keputusan Santos membawa masuk Robinho.

Justeru, Santos dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan telah mencapai persetujuan untuk membatalkan kontrak yang ditandatangani pada 10 Oktober lalu.

“Santos Football Club mengumumkan telah mencapai persetujuan bersama dengan Robinho, lantas mengambil keputusan menggantung kontrak ditandatangani pada 10 Oktober, jadi pemain itu boleh memberi tumpuan terhadap usaha mempertahankan diri dalam kes berlaku di Itali,” menurut kenyataan itu.

Manakala Robinho pula mengakui dia sedang melalui fasa sukar tetapi tekad membuktikan kepada semua dia tidak bersalah dalam kes ini.

“Ini tempoh yang sukar dalam hidup saya, sasaran saya sentiasa mahu membantu Santos.

“Saya ada katakan ia sesuatu yang istimewa untuk kembali ke sini di mana karier saya bermula tetapi jika kehadiran saya boleh mengganggu, adalah lebih baik saya pergi dan menguruskan masalah saya. Saya akan buktikan saya tidak bersalah,” ujar Robinho.

Robinho telah dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan yang disabitkan ke atasnya itu tetapi dia telah mengemukakan rayuan dan kes itu kini dalam perbicaraan.

Sebagai rekod, Robinho pernah menjulang kejuaraan LaLiga sebanyak dua kali bersama Real Madrid; Serie A sekali bersama AC Milan dan bersama pasukan kebangsaan Brazil dia membantu mereka menjulang Copa America 2007 serta Piala Konfederasi 2005 dan 2009.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.