Lagenda Itali, Andrea Pirlo mulakan kerjaya kejurulatihan bersama Juventus B

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain bola sepak lagenda skuad kebangsaan Itali, Andrea Pirlo akan memulakan kerjaya sebagai jurulatih bersama skuad Juventus Bawah 23 Tahun (B-23) atau lebih dikenali sebagai Juventus B, musim depan.

Beliau yang juga merupakan bekas pemain tengah Juventus telah melengkapkan kursus kejurulatihannya di Pusat Latihan dan Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak Itali, Coverciano.

Pirlo bersetuju dengan tawaran untuk melatih Juventus B sekaligus bakal menggantikan Fabio Pecchia, juga merupakan bekas pemain Azzurri dan Bianconerri, lapor Mail Online yang memetik Sky Sports Italia.

Dikhabarkan, Pirlo akan dibantu oleh Roberto Baronio yang sebelum ini melatih pasukan Napoli Bawah 19 Tahuh (B-19).

Pirlo memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak bersama Brescia sebelum berhijrah ke Inter Milan namun beliau amat diingati ketika menyarung jersi AC Milan (2001-2011) selain daripada Juventus (2011-2015).

Ketika bermain bersama AC Milan, pengurus pada waktu itu, Carlo Ancelotti telah menukar peranan Pirlo daripada seorang attacking midfielder kepada deep-lying playmaker atau dalam bahasa Italinya, Regista.

Di posisi tersebut, Pirlo memainkan peranan untuk menjadi titik utama dalam merancang serangan pasukan. Tenang dalam mengawal bola dan mempunyai kebolehan untuk melakukan killer pass membolehkan Pirlo memainkan peranan tersebut dengan cemerlang.

Pirlo dikenang para peminat bola sepak sebagai Regista terbaik di zamannya dan ternyata kehebatannya itu telah membantu pasukan yang diwakilinya memenangi pelbagai kejuaraan seperti Serie A, Coppa Italia, Supercoppa Italiana, Champions League, Super Cup dan FIFA Club World Cup.

Pencapaian teragung Pirlo adalah ketika menjulang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Itali pada tahun 2006.

Foto: Juventus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.