LaLiga tidak akan keluarkan visa untuk Messi keluar dari Sepanyol!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tamparan hebat buat Manchester City kerana Lionel Messi tidak boleh didapatkan secara percuma sebaliknya perlu mengaktifkan klausa pelepasan £632 juta (RM3.514 bilion) untuk memancing pemain itu.

Sebelum ini ada laporan mengatakan Messi boleh keluar secara percuma memandangkan klausa itu terbatal atas beberapa sebab dan kelab Liga Perdana Inggeris bimbingan Pep Guardiola dianggap pilihan untuk menyambar bekas pemain terbaik dunia itu.

Namun, LaLiga memberitahu kontrak Messi mempunyai klausa penamatan yang sah dan mereka sama sekali tidak akan mengeluarkan visa untuk membolehkan pemain itu keluar dari Sepanyol jika pasukan yang mahu mendapatkannya tidak membayar klausa yang ditetapkan.

Messi sebelum ini diletakkan dalam senarai satu daripada tujuh pemain yang tidak boleh ‘disentuh’ mana-mana pasukan tatkala mereka bersedia melepaskan ramai pemain berprofil tinggi seperti Luis Suarez, Gerard Pique, Sergio Busquests dan Arturo Vidal.

Begitupun keadaan berubah sebaliknya apabila Messi mendedahkan sudah tawar hati untuk terus bersama pasukan itu yang menjulang namanya sebagai Pemain Terbaik Dunia sebanyak enam kali.

Malah dia juga tidak kelihatan di kem latihan Barcelona untuk menjalani ujian Covid-19 pada pagi Isnin yang menguatkan lagi spekulasi betapa dia sudah tidak berminat untuk berada dalam perancangan kelab Catalan itu.

Dalam tempoh 16 tahun bersama Barcelona, Messi membuat lebih 700 penampilan dan menjaringkan 634 gol.

Keinginan pemain Argentina itu untuk keluar dari Camp Nou dikatakan didorong oleh kekalahan mengaibkan 2-8 Barcelona kepada Bayern Munich dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, yang sekaligus menjadi kekalahan terburuk dalam sejarah kelab itu.

Selepas kekalahan itu, Messi melabel pasukan itu sebagai lembik dan melepaskan geram kepada rakan sepasukan kerana mereka tidak menunjukkan kualiti yang sepatutnya.

Bagaimanapun Messi sendiri menjadi sasaran kritikan segelintir pihak dan ada yang melabelnya tidak sebagus Cristiano Ronaldo yang berjaya menunjukkan kelasnya walaupun bermain di liga berbeza seperti Liga Perdana Inggeris, LaLiga dan Serie A.

Ini juga antara punca utama Messi mahu mencari cabaran baru tetapi selain klausa perpindahan yang begitu tinggi, seperkara lagi yang menjadi kekangan bagi pasukan mendapatkan khidmatnya adalah gaji mingguannya yang cukup-cukup lumayan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.