Lampard : ‘Giroud pemain penting di Chelsea tapi kalau dia nak pindah, dipersilakan’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus Chelsea, Frank Lampard memberi respon kepada keinginan Olivier Giroud yang mahu berpindah pada bulan Januari nanti.

Giroud baru-baru ini mendedahkan bimbang dengan masa depannya di Stamford Bridge memandangkan sekadar menjadi pemain simpanan dan jarang diturunkan walaupun sebagai pemain gantian.

Lampard gemar menggunakan seorang penyerang tengah dan kehadiran Timo Werner dari RP Leipzig pada awal musim ini sekadar menyempitkan lagi peluang Giroud untuk bermain.

Werner tampil impresif dan pantas menjadi penyerang pilihan utama Lampard tatkala Tammy Abraham pula merupakan back-up regular kepada pemain itu.

Giroud pada hakikatnya masih cukup tajam dan memburu lebih minit permainan bagi mengekalkan sentuhan serta tempat di dalam skuad kebangsaan Perancis, justeru dia berpendapat perpindahan adalah pilihan terbaik.

Malah pengurus Perancis, Didier Deschamps juga menasihatkan bekas penyerang Arsenal itu untuk keluar bagi menjamin tempatnya dalam skuad Euro 2020 pada tahun depan, lebih-lebih lagi dia dalam prestasi yang baik selepas menjaringkan lima gol dalam lapan perlawanan terakhir dan ketika ini ketinggalan tujuh gol di belakang Thierry Henry dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Les Bleus. 

Bagi Lampard, dia tidak bercadang melepaskan Giroud dan memberitahu betapa penyerang berusia 34 tahun itu masih ada peranan penting untuk dimainkan tetapi tidak akan menyekat jika dia bertegas mahu keluar.

“Saya ada perancangan untuk Oli, dia pemain yang cukup penting dalam skuad ini. Musim lalu dia salah seorang pemain tonggak dan bermain banyak perlawanan dalam kesebelasan utama. Jumlah permainannya adalah relatif dan dia seorang yang sentiasa mahu bermain dan bermain.

“Dia telah memberi sumbangan penting dan akan kekal sebagai pemain penting di dalam skuad ini selepas ini. Saya mahu dia kekal kerana saya tahu dia akan bermain malahan saya juga mempunyai hubungan yang baik dengannya.

“Tetapi jika dia rasa keluar bermain dengan pasukan lain itu lebih baik, maka saya mempersilakan dan tiada halangan, saya akan bercakap dengannya tetapi saya mahu dia kekal kerana pada saat ini, dia adalah pemain yang penting,” kata Lampard.

Walaupun dikatakan sebagai pemain penting, Giroud hanya membuat enam penampilan setakat ini dan hanya satu penampilan dalam kesebelasan utama musim ini – itupun dalam saingan Piala Carabao.

Jika keluar, dia berkemungkinan besar akan kekal bermain di EPL ataupun Serie A, dengan Inter Milan dikatakan memantau perkembangannya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.