8 Pemenang Emas Indonesia Di Olimpik, Semuanya Dari Badminton

Beregu wanita Indonesia
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Greysia Polii-Aprihani Rahayu memastikan skuad badminton Indonesia membawa pulang pingat emas tidak diduga dari acara beregu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Indonesia menutup tirai di gelanggang badminton dengan satu emas dan satu gangsa yang disumbangkan Anthony Sinisuka Ginting menerusi acara perseorangan lelaki, sekaligus mengukuhkan reputasi negara itu sebagai kuasa badminton rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Secara keseluruhan, Indonesia telah memenangi lapan emas dalam sejarah penyertaan mereka di Sukan Olimpik, dan kesemua lapan emas itu hadir menerusi badminton yang diperkenalkan secara rasmi pada 1992.

Mereka adalah satu-satunya negara ASEAN yang menang emas badminton di temasya sukan terbesar dunia itu; Malaysia di kedudukan kedua dengan enam pingat perak dan tiga gangsa, manakala carta keseluruhan didominasi China dengan 20 emas, 12 perak dan 15 gangsa.

Indonesia 8 Pemenang Emas Indonesia Di Olimpik, Semuanya Dari Badminton

Sebagai rekod, Indonesia hanya sekali sahaja gagal memenangi pingat emas badminton di Sukan Olimpik, apabila pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat pada edisi 2012 di London.

Jom kita imbas semula kejayaan lapan pemenang emas Indonesia dalam sukan badminton di Olimpik bermula Barcelona 1992 – Tokyo 2020 (2021).

Barcelona 1992

Pemain perseorangan wanita, Susi Susanti menjadi pemain pertama menyumbangkan emas buat Indonesia, menerusi kemenangan 5-11, 11-5, 11-3 ke atas pemain Korea Selatan Bang Soo Hyun.

Pemain perseorangan lelaki, Alan Budi Kusuma kemudian menyumbang pingat emas kedua setelah menewaskan rakan senegara Ardy Wiranata dengan keputusan 15-12, 18-13.

Seorang lagi pemain Indonesia, Hermawan Susanto memenangi pingat gangsa (ketika itu pemain yang tewas di separuh akhir automatik dapat gangsa).

Gandingan beregu lelaki Eddy Hartono-Rudy Gunawan pula memenangi pingat perak.

Atlanta 1996

Indonesia gagal mempertahankan emas dalam kedua-dua acara perseorangan tetapi membawa pulang sebutir emas menerusi gandingan beregu lelaki Rexy Mainaky-Ricky Subagja yang menewaskan pasangan Malaysia, Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock 5-15, 15-13, 15-12.

Pasangan Antonius Arianto-Denny Kantono pula menang gangsa setelah menewaskan satu lagi pasangan Malaysia, Soo Beng Kian-Tan Kim Her.

Mia Audina menang pingat perak manakala Susi Susanti pula menang gangsa acara perseorangan wanita.

Sydney 2000

Indonesia mempertahankan emas beregu lelaki, kali ini menerusi gandingan Tony Gunawan-Candra Wijaya yang menewaskan Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung.

Mereka turut menang dua pingat perak menerusi Hendrawan (perseorangan lelaki) dan Tri Kusharjanto-Minarti Timur (beregu campuran).

Athens 2004

Taufik Hidayat memastikan emas acara perseorangan lelaki kembali ke Indonesia selepas 12 tahun dengan menewaskan Shon Seung Mo (Korea Selatan).

Sony Dwi Kuncoro dan gandingan beregu lelaki Eng Hian-Flandy Limpele menghadiahkan gangsa.

Beijing 2008

Hendra Setiawan dan mendiang Markis Kido menghadiahkan emas menerusi acara beregu lelaki setelah menewaskan Fu Haifeng-Cai Yun manakala pingat perak hadir menerusi Nova Widianto-Lilyana Natsir (beregu campuran).

Maria Kristin Yulianti menyumbangkan pingat gangsa menerusi acara perseorangan wanita.

Rio De Janeiro 2016

Setelah tiada sebarang pingat pada edisi 2012, Lilyana Natsir-Tontowi Ahmad menghadiahkan satu-satunya pingat pada edisi 2016 dengan memenangi emas selepas menewaskan gandingan Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Ia juga kali pertama dalam sejarah badminton Indonesia menang emas menerusi acara beregu campuran.

Tokyo 2020

Gandingan Greysia Polii-Aprihani Rahayu melakar kejutan besar menang emas dengan menewaskan pilihan kedua temasya dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan straight set 21-19, 21-15.

Anthony menambah satu lagi pingat setelah menewaskan Kevin Cordon dari Guatemala dalam penentuan pingat gangsa.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.