Saturday, July 24, 2021
HomeBola Sepak"Lawan berdepan kesukaran untuk tewaskan kami," tegas Benjamin Mora

“Lawan berdepan kesukaran untuk tewaskan kami,” tegas Benjamin Mora

Walaupun sudah tidak berpeluang untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, Johor Darul Takzim (JDT) tetap tidak akan memberi laluan mudah kepada Nagoya Grampus apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kelima Kumpulan G pada Ahad.

Skuad Harimau Selatan bakal kehilangan beberapa tonggak kesebelasan utama iaitu Shane Lowry, Matthew Davies, Aiman Ariff Hanapi dan Afiq Fazail – kesemuanya kerana menjalani penggantungan perlawanan namun Benjamin Mora berkata pasukannya akan tetap cuba untuk mencuri mata dari perlawanan tersebut.

“Untuk saingan ACL walaupun kami sudah tiga musim beraksi namun kami masih lagi menimba pengalaman berbanding kelab-kelab dari Jepun dan Korea Selatan yang sudah lama beraksi dalam saingan ini.

“Jadi, kami kena bersedia dalam setiap perlawanan terutama Nagoya Grampus akan tampil agresif untuk mencari kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan 16 dan kami akan berusaha beri tentangan sengit.

“Memang tidak dinafikan pemain begitu keletihan menempuh jadual padat, malah bukan itu sahaja kami perlu berada di hotel penginapan dan tidak dibenarkan keluar untuk beriadah, sebaliknya hanya keluar dari hotel penginapan ke pusat latihan.

“Senario itu bukan mudah untuk minda setiap pemain yang mahukan ketenangan kerana ia nyata mengganggu emosi mereka, namun kami perlu menyesuaikan keadaan dan meneruskan latihan bagi persiapan berdepan kelab dari Jepun itu.

“Walaupun hanya menang satu perlawanan namun corak permainan pada empat aksi lalu memuaskan apabila kami mampu beri saingan dan membuat pasukan lawan berdepan kesukaran sebelum menewaskan kami,” kata Benjamin Mora.

Sebagai rekod, ketika JDT dan Nagoya Grampus bertemu pada 22 Jun lalu, mereka tewas dengan jaringan 0-1 dan selepas itu bangkit menewaskan Ratchaburi FC 1-0.

Bagaimanapun peluang juara Piala AFC 2015 itu layak ke pusingan kedua tertutup selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada kelab Korea Selatan, Pohang Steelers dengan jaringan 1-4 dan 0-2.

Dengan tiga kekalahan dari empat perlawanan, JDT menghuni tangga ketiga dengan tiga mata manakala Nagoya Grampus yang menang kesemua perlawanan pula di tangga teratas.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.