Layak Piala AFC sekalipun belum tentu Sathianathan dikekalkan

Sathianathan
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sekalipun Selangor berjaya mencapai sasaran melayakkan diri ke saingan Piala AFC, ia bukan jaminan kedudukan ketua jurulatih B.Sathianathan sudah selamat. 

Itu rumusan boleh dibuat berdasarkan kenyataan oleh Setiasaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor 9FAS) Dr Johan Kamal Hamidon tatkala kontrak Sathianathan akan berakhir pada 30 November dan masa depannya mula menjadi persoalan.

“Sasaran kita untuk Sathianathan jelas iaitu layak ke Piala AFC dengan meraih kedudukan dua teratas Liga Super atau juara Piala Malaysia.

“Tetapi sekiranya tercapai sekalipun, kita akan membuat beberapa penilaian terlebih dahulu. Macam tahun lalu dia tidak menang apa-apa tetapi kita kekalkannya, jadi sama ada menang trofi atau tidak, kita akan bincangkan di peringkat jawatankuasa,” ujar Johan Kamal.

Sebagai rekod, Sathianathan memacu Selangor menduduki tempat ketiga Liga Super pada musim pertamanya mengendalikan pasukan itu pada 2019 sekaligus memperbaiki pencapaiaan tangga kelapan pada 2018.

Selain itu, Sathianathan membawa Selangor menamatkan saingan Piala FA dan Piala Malaysia di kelompok empat pasukan terbaik.

Tambah Johan Kamal, “Selagi tiada pengumuman, Sathianathan masih merupakan ketua jurulatih kami, dan setakat ini tiada mana-mana jurulatih dalam radar kita.

“Fokus buat ketika ini adalah baki saingan musim 2020. Saya berharap momentum yang diperoleh hasil lima kemenangan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini dapat dite­ruskan pada Liga Super nanti bagi mendapatkan keputusan lebih baik.”

Selangor memulakan musim 2020 selaku antara pasukan tumpuan berikutan kejayaan mendapatkan beberapa pemain berkualiti seperti Brendan Gan, Rodney Celvin, Nick Swirad dan Safuwan Baharudin selain kembalinya Rufino Segovia dan Wan Zack Haikal dari kecederaan panjang.

Selepas empat perlawanan, Red Giants menduduki tangga ketujuh dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua kali seri.

Mereka akan turun menentang pasukan kendalian K.Devan PJ City FC dalam aksi pertama Liga Super selepas lebih lima bulan pada 29 Ogos ini, di Stadium MBBJ.

Baki enam perlawanan mereka selepas itu adalah menentang Sabah (4 September); Melaka United (11 September); JDT (19 September); Uitm FC (26 September); PDRM FA (3 Oktober) dan Felda United (10 Oktober).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.