Lazarus Kaimbi Patah Kaki

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

PDRM FC akan kehilangan khidmat kapten pasukan Lazarus Kaimbi, setidak-tidaknya untuk tiga perlawanan selepas pemain itu mengalami kecederaan patah tulang di bahagian kaki.

Dia terlepas aksi menentang skuad Projek FAM-MSN pada minggu lalu, dan pengendali pasukan Wan Rohaimi Wan Ismail menjangkakan pemain berusia 33 tahun itu akan mengambil masa beberapa minggu lagi untuk pulih sepenuhnya.

Pemain dari Namibia itu juga adalah penjaring terbanyak pasukan dengan empat gol, kesemuanya menerusi sepakan penalti.

Justeru itu, Wan Rohaimi akan melakulan sedikit rombakan dalam kesebelasan untuk aksi menentang Terengganu FC II pada Ahad (8 Ogos) apatah lagi khidmat pemain pertahanan, Amir Saiful Badeli juga tidak dapat digunakan kerana digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Kita tahu Terengganu FC II masih belum tewas lagi setakat ini, dan saya selalu ingatkan kepada pemain jangan letakkan diri dalam keadaan selesa walaupun sebelum ini kita pernah menang tiga kali berturut-turut.

“Sekarang ini pun kita turun tanpa kekuatan yang sebenar apabila Lazarus masih cedera, Amir juga digantung perlawanan, jadi memang akan ada perubahan pemain nanti.

“Saya ada bertanyakan keadaan Lazarus, dan dia kata bahagian kaki kanan masih lagi terasa sakit dan ada sedikit patah, jadi saya rasa kita kena bersedia untuk kehilangannya bagi tiga aksi akan datang.

“Yang penting, kita kena pastikan kita tidak tercicir mata lagi sebab kedudukan pasukan juga belum selamat apatah lagi kita juga ingin kejar slot ke Piala Malaysia,” jelasnya.

Sebagai rekod, prestasi PDRM FC bertambah baik sejak diambil alih Wan Rohaimi menggantikan Mat Zan Mat Aris pada April lalu.

Mereka tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir dan menduduki tangga kelapan Liga Premier dengan 18 mata daripada 14 perlawanan.

Foto ehsan : PDRM FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.