Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris meminta kerajaan baru Kedah pimpinan Sanusi Md Nor segera meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan itu, berbanding sibuk mencari kesalahan pengurusan terdahulu.
Asmirul mengakui tunggakan gaji pasukan itu adalah perkara biasa namun menurutnya kepimpinan KFA di bawah Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak pernah sekalipun memandang enteng masalah itu dan sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam memastikan isu berkenaan tidak berlarutan.
Malah, itulah yang dilakukan apabila Mukhriz yang memperuntukkan RM1.5 juta dana kerajaan negeri sebelum berlaku peralihan kerajaan negeri pada pertengahan Mei, tetapi malangnya sehingga kini ia belum diluluskan oleh Sanusi.
Malah Sanusi dilihat lebih berminat menuding jari kepada kepimpinan KFA terdahulu yang dilihat lebih bermotifkan serangan politik.
“Ini bukan perkara baru, kami sebagai kerajaan negeri pada waktu itu ada strategi untuk menyelesaikan masalah hutang tersebut selepas ancaman pandemik Covid-19 semakin berkurangan.
“Sebaliknya, pemerintahan kerajaan negeri dirampas. Mereka (kerajaan negeri baharu Kedah) sebagai kerajaan perlu selesaikan masalah. Sepatutnya luluskan peruntukan RM1.5 juta dulu untuk tunggakan gaji pemain dan bukan persoalkannya.
“Semasa kami mengambil alih KFA daripada Datuk Seri Bashah Ahmad Hanipah sebelum ini pun mempunyai masalah yang sama tetapi kami tidak bising, sebaliknya berusaha untuk menyelesaikannya,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Sebagai rekod, KFA dilaporkan masih berhutang sebahagian gaji bulan Februari serta gaji penuh bulan Mac dan April kepada pemain dan pegawai pasukan.
Malah terdapat beberapa pemain seperti Renan Alves, Shakir Hamzah dan Kpah Sherman sudahpun meluahkan kekecewaan secara terbuka.
Foto : FB Asmirul Anuar Aris