‘Lebih ramai pemain berdarah kacukan akan perkuat Harimau Malaya’ – Presiden FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong bolasepak tanah air boleh menjangkakan lebih ramai pemain berdarah kacukan akan memperkuatkan pasukan kebangsaan di masa akan datang.

Setakat ini, termasuk Dion Cools yang merupakan rekrut terbaru, skuad Harimau Malaya turut mempunyai kelibat lima lagi pemain berdarah kacukan iaitu Brendan Gan, Mathew Davies, La’vere Corbin Ong, Samuel Somerville dan Junior Eldstal.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, usaha membawa masuk pemain berdarah kacukan atau pemain warisan takkan terhenti setakat Dion Cools dan siapa sahaja yang diyakini dapat meningkatkan prestasi Harimau Malaya akan dipertimbangkan untuk dipanggil.

“Kita harap banyak lagi pemain (berdarah kacukan) mungkin Wan Kuzain, kita dapat tahu hari ini (kelmarin) ada ‘tweet’ di Twitter (dia) macam berminat. Kita pernah follow up dengan dia dalam setahun ke dua tahun lepas.

“Kita sedia menerima pemain berkualiti untuk memberi peluang kepada barisan kejurulatihan memilih bagi membarisi skuad kebangsaan,” kata Datuk Hamidin ketika meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai, pada Selasa.

Terdahulu, pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dilihat memberikan reaksi terhadap penyertaan Dion Cools. Dia mengulangi ciapan akaun twitter rasmi FAM tersebut dengan meninggalkan emoji ‘thinking face’.

Tindakan pemain tengah berusia 22 tahun yang bermain bersama Rio Grande Valley FC tersebut seakan-akan memberikan satu isyarat mahu membuat pertimbangan untuk turut sama menyertai kem skuad kebangsaan sekiranya dipanggil berbuat demikian.

Sebelum ini, Wan Kuzain telah menyertai kem latihan skuad Malaysia B-22 untuk persediaan ke temasya Sukan SEA 2019 kendalian Dato’ Ong Kim Swee. Bagaimanapun, dia tidak dapat dibawa ke Manila, Filipina kerana masalah dokumentasi.

Bapa Wan Kuzain, Wan Kamal ketika itu memberitahu media tempatan bahawa Wan Kuzain hanya berminat untuk menyarung jersi skuad B-23 kerana di pentas senior, dia mahu memburu tempat di dalam skuad Amerika Syarikat seterusnya bermain di Piala Dunia.

Selain itu, adik kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kuzri juga pernah menyertai kem latihan skuad kebangsaan B-19 di bawah bimbingan Brad Maloney pada tahun 2020.

Selain dua pemain ini, terdapat beberapa lagi pemain berdarah kacukan atau warisan yang boleh dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan seperti Isaac Angking, Jaami Qureshi, Nathaniel Shio Hong Wan dan Kobe Jae Chong.

Foto : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.