Lee Chong Wei Pun Tak Pernah Menang, Tidak Perlu Berasa Malu ..

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Singapura yang merupakan sebuah negara kerdil dalam badminton pun sudah menang Kejohanan Dunia, Malaysia bila lagi? Begitulah antara kritikan yang kedengaran susulan kejayaan luar biasa pemain perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew yang menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2021 pada Ahad lalu.

Kean Yew menewaskan Srikanth Kidambi dalam aksi final sekaligus muncul pemain pertama Singapura bergelar juara dunia sedangkan Malaysia pula masih belum pernah memenangi kejohanan dunia.

Bayangkan sehebat-hebat Datuk Lee Chong Wei di zaman gemilangnya, dia sendiri tidak pernah sekalipun menang Kejohanan Dunia, sebaliknya muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 2011, 2013 dan 2015.

Justeru, kemenangan Kean Yew yang berasal dari Pulau Pinang disifatkan sebagai satu tamparan hebat buat kem badminton negara oleh rata-rata pemerhati dan peminat sukan badminton tanah air.

Namun bagi Lee Chong Wei sendiri, kem badminton negara tidak perlu malu dengan pencapaian Kean Yew sebaliknya mencontohi semangat pemain berusia 22 tahun itu dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk melakar kejayaan pada masa depan.

“Kemenangan Kean Yew adalah contoh terbaik untuk pemain kita…dia bukan datang negara jaguh tapi boleh menang kejohanan dunia…apa-apa pun boleh berlaku,” kata Chong Wei kepada Bernama.

Dalam pada itu, Chong Wei berkata, pemain kebangsaan khususnya Lee Zii Jia berpeluang besar untuk merangkul kejuaraan di Sepanyol itu susulan ketiadaan beberapa bintang dari Indonesia, Jepun dan China.

Namun, juara All England 2021 itu tidak dapat meneruskan cabaran apabila terpaksa menarik diri berikutan kecederaan dialami ketika saingan suku akhir.

Chong Wei berharap agar Zii Jia lebih berhati-hati dan mengelak daripada mengalami kecederaan berulang pada masa depan selain percaya pengalaman diraih pemain kelahiran Kedah itu mampu mematangkan diri demi melakar lebih banyak pencapaian membanggakan pada masa depan.

“Semoga Zii Jia kembali fokus, dapat keyakinan balik dan terus bersemangat,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim menganggap penyertaan Kean Yew yang mewakili Singapura biarpun pemain itu dilahirkan dan dibesarkan di negara ini sebelum Persatuan Badminton Singapura (SBA) menawarkannya biasiswa di Sekolah Sukan Singapura ketika berusia 12 tahun sebagai kerugian kepada kem badminton kebangsaan.

“Bukan masanya hendak salahkan sesuatu pihak…mungkin kehendak dia sebab Singapura beri biasiswa dan Kean Yew ambil peluang. Mungkin dia nampak di sini susah hendak masuk skuad kebangsaan,” katanya.

Biarpun Kean Yew bukan pemain pilihan untuk memenangi kejohanan kali ini, Roslin percaya kejayaan bersejarah itu hadir atas usaha keras pemain itu yang mahu berjaya dalam arena badminton antarabangsa.

Roslin dalam masa sama mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka mata terhadap kejayaan Kean Yew itu demi hala tuju dan kegemilangan sukan badminton pada masa depan.

Pada edisi kali ini, hanya pasangan beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih gangsa pada aksi separuh akhir Sabtu lepas selepas kecundang kepada beregu keempat dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 12-21, 9-21.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.