Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakLee Tuck akui cabaran di Terengganu FC lebih tinggi berbanding Sri Pahang

Lee Tuck akui cabaran di Terengganu FC lebih tinggi berbanding Sri Pahang

Pemain tekad Terengganu FC, Lee Tuck tekad mahu mencapai prestasi terbaik sepertimana dilakukannya bersama Terengganu pada musim lalu.

Lee Tuck berjaya menjaringkan enam gol dalam 11 penampilan pada musim lepas dan mahu mengulangi sentuhan sama dalam baki saingan Liga Super 2021 bagi membantu Terengganu FC menamatkan saingan sekurang-kurangnya di kedudukan kedua terbaik.

“Saingan yang lebih berbeza apabila saya kini berada bersama pasukan yang kini di kedudukan lebih tinggi berbanding Pahang sekarang di tangga kesembilan, jadi cabaran yang dirasai lebih tinggi.

“Saya ingin cuba mencari lebih banyak jaringan sama seperti saya lakukan pada tahun lepas, dan ingin bawa pencapaian ini untuk mulakan musim baharu 2022 dengan lebih positif apabila kembali bersama Sri Pahang.

“Saya teruja nak kembali semula ke Sri Pahang pada tahun depan, tetapi musim ini, saya perlu bekerja keras untuk bantu Terengganu terlebih dahulu untuk kekal di tangga kedua kerana musim lepas kami berada di kedudukan ketiga liga”, ujar Lee Tuck yang menyertai semula Terengganu FC secara pinjaman pada jendela perpindahan kedua.

Dalam pada itu, Lee Tuck yang akan menimang cahaya mata kedua pada bulan Ogos mengakui perlu lebih serius dalam mengimbangi karier dan keluarga lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

Jelasnya, kes yang kian meningkat saban hari sememangnya memberi kerisauan apatah lagi dia kini perlu berjauhan dengan keluarga buat sementara waktu kerana sedang menjalani latihan bersama pasukan secara Camp Based.

Berbeza dengan situasi sebelum adanya penularan wabak COVID-19, pemain kelahiran England ini mengakui perlu lebih berjaga-jaga dan bijak membahagikan masa untuk memastikan isteri dan anaknya dalam keadaan yang selamat meskipun dia tiada di sisi.

“Saya rasa semua orang sedang menghadapi kehidupan yang lebih berbeza sekarang selepas berdepan wabak yang semakin merisaukan.

“Anak saya yang berusia 2 tahun ini juga rindu nak beriadah di luar, dan kami sebagai ibu bapa yang kena selalu melayan dia setiap masa sebab sekarang tidak boleh nak keluar ke mana-mana, jadi penting untuk dia rasa dilayani dengan baik di rumah.

“Bulan depan, isteri saya akan melahirkan anak kami yang kedua, jadi saya sekarang kena lebih bijak untuk mengimbangi kehidupan berkeluarga dan kerjaya yang lebih baik, apatah lagi sekarang situasi tidak sama dengan sebelum adanya Covid-19.

“Ianya pasti akan lebih sukar, tetapi saya percaya kami akan menanganinya dengan lebih baik demi keluarga dan karier,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.