Lee Tuck kongsi pengalaman berpuasa, kagum dengan rakan muslim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kapten Terengganu FC Lee Tuck cuba menyelami sendiri bagaimana rasanya berpuasa dan menyifatkan ia satu pengalaman berharga yang cukup hebat.

Dapat berpuasa penuh buat kali pertama, pemain kelahiran England ini menganggap ia satu cabaran besar untuk menahan lapar dan dahaga sepanjang hari lantas melahirkan rasa bangga terhadap rakan Muslim lain yang berpuasa selama satu bulan pada bulan Ramadan ini.

Lee Tuck berkata berpuasa tidak menjejaskan kecergasan dirinya malah memberinya satu rasa yang cukup berbeza baik daripada segi ketahanan fizikal dan mental.

“Sememangnya satu pengalaman baharu untuk saya dan saya agak gementar pada mulanya untuk cuba berpuasa, tetapi akhirnya ia berjalan dengan cukup lancar.

“Daripada situ saya berpeluang untuk merasai sendiri bagaimana seorang Muslim di sini berpuasa dan bagaimana mereka kuat untuk terus berdisiplin menahan lapar dan dahaga.

“Sebelum ini saya pernah cuba juga, tetapi saya masih lagi minum air, cuma semalam adalah kali pertama saya berpuasa penuh tanpa air dan makanan, jadi saya agak terkejut saya dapat melakukannya kerana ia bukan mudah.

“Satu penghormatan daripada saya dan keluarga kepada semua Muslim yang berpuasa selama satu bulan dan saya bercadang ingin meneruskan puasa penuh ini sekuran-kurangnya sehingga satu atau dua hari dalam seminggu,” katanya yang turut berkongsi video berbuka puasa bersama keluarga di Terengganu.

Dalam pada itu, Lee Tuck gembira kerana sudah dapat melakukan aktiviti riadah di luar berbanding sebelum ini hanya berlatih di rumah.

Pemain itu kekal positif dan berharap agar pasukan dapat kembali berlatih bersama dalam masa terdekat ini sebagai persediaan harungi Liga Malaysia yang dijangka kembali bersambung pada September.

“Memang saya sangat berharap agar kami semua satu pasukan dapat kembali berjumpa dan berlatih bersama.

“Tetapi sekurang-kurangnya untuk sekarang, kita patut bersyukur juga akhirnya dapat keluar melakukan aktiviti di luar kawasan rumah kerana sebelum ini semua orang hanya melakukan latihan ringan di rumah sahaja.

“Sememangnya susah untuk kita menyesuaikan diri dengan situasi sekarang, tetapi apa lagi kita boleh buat dan saya tetap berlatih dengan kuat untuk pastikan tahap kecergasan saya di tahap terbaik selain sentiasa bersedia untuk memulakan saingan bila-bila masa,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.