Lee Tuck sudah lama mengidam status sebagai pemain tempatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Terengganu FC Lee Tuck mengakui sudah tidak sabar untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia.

Pemain kelahiran England itu sepatutnya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan lebih awal jika dia berjaya mengemukakan dokumen yang boleh membuktikan dia ada pertalian darah dengan Malaysia, namun kegagalan berbuat demikian menyaksikan dia terpaksa menunggu lima tahun untuk bergelar pemain tempatan atas tiket naturalisasi.

Dan dia juga sedar akan ekspetasi besar yang hadir bersama status naturalisasi itu.

“Ia pasti mengagumkan dan satu impian menjadi kenyataan untuk menyarung jersi sebagai pemain tempatan. Saya harap ia menjadi kenyataan.

“Cara untuk berdepan tekanannya penting. Ia boleh dijadikan sebagai dorongan atau membuatkan anda tergelincir dari landasan. Ia tidak menggerunkan, saya mahu mencapai sesuatu yang patriotik.

“Kembali kepada topik bola sepak, saya perlu menyerapnya dengan lancar. Adakala apabila bermain anda akan dipuji, apabila tidak bagus kadangkala ia boleh mengundang kritikan,” ujar Lee Tuck.

Sebagai rekod, Lee Tuck telah bermain di Liga Malaysia bermula 2017 apabila mewakili pasukan Negeri Sembilan, sebelum berhijrah ke Terengganu pada 2018.

Selepas tiga musim dia berpindah ke Sri Pahang FC namun rombakan yang dibuat pada pertengahan musim menyebabkan dia kembali ke Terengganu FC sebagai pemain pinjaman.

Jika pemain berusia 34 tahun itu bergelar naturalisasi pada tahun depan, dia juga berpeluang untuk dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Ketika ini skuad negara sudah ada tiga pemain naturalisasi dalam kelibat Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.

Mengulas mengenai saingan sengit untuk mengisi posisi tengah Terengganu FC berikutan adanya beberapa pemain import lain seperti Makan Konate, Dechi Marcel dan Habib Haroun, Lee Tuck memberitahu dia fokus kepada prestasi sendiri dan menyerahkan kepada jurulatih (Nafuzi Zain) untuk membuat keputusan.

“Saya sentiasa berkeyakinan terhadap diri sendiri. Saya mempamerkan prestasi tekal sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tidak bimbang. Saya hanya tumpukan diri sendiri. Keputusan pemain lain dan jurulatih adalah di luar bidang kuasa saya. Selebihnya terpulang kepada jurulatih, dunia dan bola sepak.

“Saya hanya mampu menikmati (permainan) dan berikan yang terbaik,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.