Lee Zii Jia gegar Viktor Axelsen untuk takluk All England

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Lee Zii Jia tampil dengan aksi menakjubkan untuk mencatat kemenangan sensasi ke atas juara bertahan Viktor Axelsen dan merangkul gelaran perseorangan lelaki kejohanan All England, pada Ahad.

Pemain berusia 22 tahun itu mengambil masa 1 jam 14 minit untuk melakar kemenangan 30-29, 20-22 dan 21-9 dalam perlawanan yang cukup mendebarkan sekaligus membuatkan Viktor Axelsen terkesima di Birmingham Arena.

Ia adalah gelaran All England pertama buat pemain di ranking nombor 10 dunia itu, sekaligus menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Selaku juara pemain kelahiran Kedah itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM 244,344).

Keinginan Lee Zii Jia untuk memenangi kejuaraan besar pertama dalam kariernya tampak begitu berkobar, di mana sebelum kemenangan ini, dia hanya pernah merasai nikmat bergelar juara kejuaraan kecil seperti Terbuka Taiwan dan Terbuka Poland, serta pingat emas Sukan SEA 2019.

Dan dia membuktikannya dengan penampilan cukup garang di edisi kali ini, meskipun ia berlangsung tanpa kelibat beberapa bintang terkemuka dari China dan Indonesia.

Sebagai rekod, Lee Zii Jia menyingkirkan pemain nombor satu dunia yang juga juara dunia dua kali, Kento Momota di separuh akhir dan membuktikan kepada dunia bahawa kemenangan itu bukan nasib semata-mata apabila mengulangi permainan garang bertemu Viktor Axelsen, pemain nombor dua dunia.

Bayangkan ketika set pertama yang berlanjutan ke 30 mata, dia tidak menunjukkan sedikitpun rasa gentar mahupun goyang dengan reputasi lawannya itu, tetapi tenang mengembalikan pukulan dan menguasai gelanggang untuk mengecewakan Viktor Axelsen yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

Kedua-dua pemain saling mengejar mata di set kedua tetapi pemain Denmark itu lebih bernasib baik dapat mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Lee Zii Jia tidak lagi memberi muka di set ketiga apabila mencatat kemenangan mudah.

Ia sekaligus menjadi kemenangan pertamanya dalam empat pertemuan menentang Viktor Axelsen, sekaligus membalas dendam kekalahan kepada pemain itu di separuh akhir edisi 2020.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.