Lee Zii Jia tipu keluarga konon BAM tak bagi cuti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kejayaan pemain muda Lee Zii Jia mencipta sensasi menjulang kejuaraan All England pada Ahad lalu, disertai pengorbanan besar termasuklah berlatih sendirian ketika rakan yang lain pulang bercuti bersempena Tahun Baru Cina.

Mungkin bunyinya macam tiada apa nak dihairankan, tetapi pemain berusia 23 tahun itu mendedahkan tekanan dihadapinya untuk kembali memperbaiki prestasi yang merosot teruk pada Januari lalu bukan mudah untuk dihadapinya.

Dalam tiga kejuaraan berturut-turut berlangsung di Bangkok ketika itu, dia tewas di suku akhir Yonex Terbuka Thailand, disusuli kandas di pusingan awal Toyota Terbuka Thailand dan juga BWF World Tour Finals.

“Memang betul, banyak masalah dihadapi ketika itu. Malah banyak juga pertukaran dibuat, saya dan jurulatih menjadi tertekan. Sehinggakan tidak ada ruang untuk bernafas. Setiap hari memikirkan bagaimana untuk kembali kepada prestasi yang saya tunjukkan di All England tahun lalu (mara ke separuh akhir).

“Selepas habis kejohanan di Thailand, memang semua jadi lain. Permainan tidak bagus dan bergelut sehinggakan saya merasakan di dalam otak (fikiran) saya seperti kosong. BAM ada memberi pelepasan untuk pulang sambut Tahun Baru Cina tapi saya tipu keluarga BAM tidak benarkan kami pulang.

“Saya terus menetap di asrama untuk berlatih sendiri. Kalau dalam skuad perseorangan lelaki, saya rasa saya seorang saja berlatih. Buat apa hendak sambut Tahun Baru Cina kalau tengah tertekan,” ujar Lee Zii Jia sambil mengakui dia juga lebih suka duduk bersendirian jika mengalami situasi sukar.

“Saya akan ‘kunci’ diri sendiri dan ia kelihatan seperti saya akan menjadi seorang yang antisosial. Sebenarnya saya mahu bersendirian dan mahu menenangkan diri,” tambah pemain kelahiran Kedah itu lagi.

Lee Zii Jia muncul juara All England selepas menewaskan juara bertahan, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final mendebarkan di Birmingham Arena sekaligus memahat nama dalam sejarah sebagai salah seorang pemain termuda bergelar juara dan dia memberitahu semuanya bertukar gembira selepas itu.

“Sebaik turun dari pentas saya terus menghubungi (video call) jurulatih, Hendrawan. Saya berkongsi kejayaan dengannya. Beliau menangis, saya lihat matanya merah dan beliau bangga dengan saya.

“Beliau berkata kepada saya jangan cepat berpuas hati, pada masa akan datang akan ada lagi cabaran lain. Bagaimanapun, beliau memberi ruang buat saya menikmati dulu kejayaan ini dan apabila pulang nanti beliau berpesan supaya kami sambung semula persiapan (untuk kejohanan lain),” katanya.

Ditanya mengenai harapan peminat untuk dia meraih emas di Olimpik Tokyo, ini jawapan Lee Zii Jia.

“Saya harus fokus satu demi satu. Buat masa sekarang, perjalanan ini berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dan saya mahu menikmati perlawanan seterusnya serta cuba berikan yang terbaik.

“Saya tidak mahu jadi seperti di Thailand. Selepas beraksi cemerlang tahun lalu (All England) kita mengharapkan keputusan yang sama untuk kejohanan seterusnya.

“Ketika cuba mencari keputusan lebih baik, saya tidak boleh beraksi dengan cemerlang. Sekarang saya sedar, hanya perlu menikmati perlawanan dan cuba yang terbaik.”

Kemenangan manis di All England turut melonjakkan pemain ini ke ranking no.8 dunia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.