Lejen ‘Double-Treble’ Bertemu, Ada Mata Yang Masuk Habuk

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah Darul Aman (KDAFC) menewaskan PJ City pada Rabu untuk terus memburu peluang menamatkan Liga Super 2021 di kedudukan dua teratas, tetapi ada momen yang lebih mencuri perhatian berlaku selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Ianya apabila dua kawan baik yang merupakan wira double-treble Kedah pada 2007 dan 2008 – Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zambri – bertemu mata dan masing-masing saling bertukar jersi.

Baddrol mengalas tanggungjawab kapten KDAFC yang melakar kemenangan bergaya 4-1 manakala Khyril Muhymeen bermain untuk PJ City dan dia adalah penjaring gol tunggal buat pasukannya.

Momen tersebut berjaya dirakam lensa kamera dan dikongsikan di media sosial Arena Hijau Kuning, di mana ia turut mendapat perhatian bekas jurulatih mereka, Azraai Khor Abdullah.

“Semalam tiba-tiba habuk masuk mata, mengenang nasib anak-anak buah. Gambar yang membawa seribu satu mesej. Walaupun dipisahkan, jiwa mereka berdua tetap sama. Sahabat dunia akhirat,” ujar Azraai Khor.

Perkongsian itu juga menyebabkan ramai penyokong-penyokong Kedah mengimbau semula zaman gemilang gandingan Baddrol-Khyril, dan tidak kurang ada yang berharap Khyril akan kembali bermain untuk Kedah sebelum menggantung but.

Sebagai rekod, Azraai Khor adalah individu bertanggungjawab mengetengahkan Baddrol-Khyril sebagai gandingan kembar ikonik serba disegani dalam arena bolasepak tempatan bermula tahun 2006. Kedua-duanya beraksi bersama selama hampir 10 musim sehingga penghujung 2014.

Kejayaan paling manis sudah tentunya apabila mereka menjadi tonggak menghadiahkan kejuaraan treble Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selama dua musim berturut-turut kepada Kedah (double-treble) – pencapaian yang sehingga kini tidak dapat disamai oleh mana-mana pasukan lain.

Tatkala Baddrol kekal setia menabur bakti bersama Kedah dan memahat nama sebagai legenda kelab malah baru-baru ini berjaya menjaringkan gol ke-120 nya untuk pasukan, Khyril yang mengharungi karier dibelenggu kecederaan pula telah mewakili beberapa kelab lain sejak meninggalkan negeri kelahirannya itu.

Pada 2015 dia berhijrah ke Negeri Sembilan, disusuli Air Asia (2016); PKNS FC (2017/2018); Perlis (2019); Selangor (2019/2020) dan PJ City bermula tahun ini.

Foto ehsan : Arena Hijau Kuning

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.