Lepaskan 13 Gol dan Tiada Clean Sheet, Gamel Akui Samassa Belum Cukup Bagus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel mengakui penjaga golnya, Mamadou Samassa belum menepati standardnya sebagai penjaga gol import, apabila telah melepaskan 13 gol dalam saingan Liga Super dan belum mencatat sebarang clean-sheet.

Ia jelas bukan rekod yang mengagumkan mengambil kira Samassa dibawa masuk dengan sasaran utama untuk membantu Sri Pahang memperbaiki rekod bolos mereka yang agak teruk pada tahun lalu, melepaskan 44 gol dalam semua pertandingan.

Samassa hanya ada mencatat clean sheet ketika dia masuk sebagai pemain gantian menentang pasukan Liga M3, Manjung City serta pasukan Liga Premier, Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Piala FA.

Justeru, jurulatih dari Perancis itu berkata dia mengharapkan sesuatu yang jauh lebih baik dari bekas penjaga gol kebangsaan Mali itu berdasarkan reputasi terdahulunya dan menuntut Samassa untuk meningkatkan prestasi apabila saingan kembali bersambung bulan depan.

“Dia penjaga gol yang bagus, menyelamatkan beberapa percubaan, tetapi itu adalah perkara biasa, memang itu tugasannya. Dia juga ada melakukan kesilapan mudah, melepaskan beberapa gol yang tidak sepatutnya jadi itu adalah apa yang mahu dia perbetulkan.

“Apa yang ditunjukkannya ketika ini adalah berbeza dengan apa yang pernah saya lihat ketika dia bermain di Ligue 1. Mungkin dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tetapi saya tahu dan saya harap dia boleh buat yang lebih baik,” ujar Gamel baru-baru ini selepas Sri Pahang seri 2-2 menentang JDT.

Ironinya, ini bukan kali pertama Gamel membuat teguran terbuka mengenai prestasi Samassa, dia ada menyatakan perkara sama ketika pemain itu melakukan kesilapan mudah keluar jauh dari posisi yang menghadiahkan gol saguhati kepada KL City pada 7 Mei lalu.

Sri Pahang akan berdepan dengan Sabah apabila Liga Super kembali bersambung pada 18 Jun, dan sudah tentunya ia satu lagi cabaran sukar buat Samassa dan barisan pertahanan mereka apatah lagi Sabah sedang dalam prestasi baik, telah meledak 10 gol dalam tiga aksi terakhir.

Foto ehsan : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.