Isu bekas penyerang kebangsaan dan Perak, Khalid Jamlus menagih peluang untuk menggalas tugas selaku jurulatih mendapat perhatian ramai khususnya peminat bola sepak tempatan.
Memegang Lesen Kejurulatihan B dan pernah menjadi penolong jurulatih PDRM FA, namun bekas penyerang berusia 43 tahun itu ‘jobless’ selama tiga tahun selepas pasukan The Cops melakukan pengstrukturan organisasi.
Sejak itu, Khalid mencuba nasib mendekati kelab-kelab bola sepak di tanah air untuk memohon jawatan selaku jurulatih tetapi tiada yang sudi menawarkan peluang kepadanya. Disebabkan itu, Khalid membuat keputusan untuk menjual memorabilia peribadi demi menyara keluarganya.
Baca: Khalid Jamlus lepaskan kasut emas dengan harga RM10,100 demi survival
Baca : Khalid – Tanyalah mereka, kenapa bekas pemain ada lesen nak jadi assistant coach pun tak dapat
Hal itu mendapat simpati ramai peminat bola sepak bagaimanapun seorang pengguna twitter yang dikenali sebagai Voliterbang tidak begitu bersetuju dengan lontaran yang diungkapkan oleh Khalid Jamlus.

“Untuk berkata beliau tidak diberi peluang melatih adalah sangat naif. Peluang kejurulatihan perlu diusahakan, tak kira anda bekas pemain Barcelona sekalipun.
“Dan usaha menuntut ilmu kejurulatihan itu bukan satu benda yang main-main. Saya sering anggap peranan ketua jurulatih di Liga M adalah sama seperti Ketua Pegawai Operasi (COO) di syarikat korporat.”
Oleh demikian, untuk menjawat jawatan sepenting COO seseorang itu perlu membuktikan kredibiliti dari bawah dan mendakinya diiringi waktu, ilmu dan tuah.
Contoh boleh dilihat kepada Pep Guardiola yang bermula dengan pasukan simpanan Barcelona.
Jadikan Mourinho, Pep dan Setien sebagai ‘Role Model’

Tambah Voli lagi, persaingan dalam kalangan bekas pemain kebangsaan untuk menjadi jurulatih di kelab-kelab bola sepak adalah tinggi.
Lebih-lebih lagi di Malaysia, hanya ada 24 pasukan sahaja yang bersaing di kancah Liga Super dan Liga Premier.
Selain itu, dunia kejurulatihan dan pemain adalah dua perkara yang berbeza dan perkara ini perlu difahami kepada sesiapa sahaja yang mahu menceburi bidang kejurulatihan.
Sebagai contoh, jurulatih ternama dunia tidak ‘menunggang’ status sebagai pemain kebangsaan dan lesen kejurulatihan profesional semata-mata untuk menjadi jurulatih.
Mereka mempunyai nilai tambah seperti kemahiran berkomunikasi lebih daripada satu atau dua bahasa, pengurusan manusia, psikologi dan lain-lain lagi.
“Jelas bahawa di tahap elit, mereka memerlukan lebih dari sekadar pengetahuan bola sepak untuk berjaya. Saya percaya yang satu hari nanti, di Asia dan Malaysia khususnya, perkara sama akan berlaku.
“Tambahan pula bola sepak moden adalah berteraskan sains sukan dan data. Data apa yang pemain professional (walau bukan semua) boleh hasilkan/analisa kalau di waktu lapang lebih memilih main forex dan tekan mesin?
“Tidak ada lagi pemain yang terus jadi penolong jurulatih hanya kerana pernah bermain di negeri tersebut atau kerana bersahabat dengan orang persatuan. Budaya ‘deal kedai mamak’ ini akan lupus jadi abu.
“Seiring waktu, hanya yang benar-benar bijak dalam segenap segi akan menjawat gelar jurulatih di kelab profesional. Pernah bermain pro atau tidak ialah soalan ke-1301.” katanya.
Ikuti akaun twitter @Voliterbang. Beliau membawa, mengulas dan memaparkan sukan bola sepak dari sudut yang berbeza kepada anda.
Foto: Liverpool & Manchester City