Letih Punca Jang Kecundang, Main 3 Kali Dalam 9 Hari Berbanding Sabah Hanya 2 – K.Devan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Faktor keletihan diakui sebagai salah satu punca utama pasukan Negeri Sembilan mengalami kekalahan kepada Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Sabtu.

Jaringan oleh Park Tae Su menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, membolehkan Sabah kembali melonjak ke tangga kedua dengan 22 mata manakala Negeri Sembilan pula di tangga ketiga dengan 20 mata.

Pengendali skuad jang, K.Devan, berkata walaupun barisan pemainnya berjaya mempamerkan aksi berintensiti tinggi pada separuh masa pertama dan mencipta beberapa peluang jaringan menerusi Gustavo Almeida dan Matheus Alves, ia jelas tidak memadai.

“Berbanding pada separuh pertama, aksi separuh masa kedua banyak berubah di mana intensiti dan tenaga kita berkurangan dan juga kehilangan idea sehingga memberi ruang kepada Sabah menjaringkan gol.

“Kita beraksi tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari berbanding Sabah bermain dua perlawanan saja, dan bagi saya perlawanan malam ini (malam tadi) satu peluang buat Sabah,” kata K.Devan selepas perlawanan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut prestasi dua import baharu iaitu Yashir Pinto (pemain tengah) dan Almeida (penyerang), K.Devan menyatakan kedua-dua pemain itu memperlihatkan persembahan dan prestasi yang baik biarpun mereka tidak dapat menjaringkan gol.

Sebelum ini, kedua-dua pemain itu berjaya menjaringkan gol ketika membelasah Sri Pahang 3-0 di gelanggang sama.

“Saya lihat kedua-duanya ada melakukan percubaan ke kawasan gol Sabah, tapi bola tak masuk. Apapun kita perlu perbaiki kedudukan ini dan akan berusaha untuk memastikan dapat kutip mata pada aksi akan datang bertemu Terengganu FC (TFC),” kata K.Devan lagi.

Ini kekalahan kedua dialami Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super musim ini selepas tewas kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) 1-0, juga di Paroi pada bulan Mei lalu.

Perlawanan menentang Terengganu akan berlangsung pada 27 Julai depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.