Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakLiga dijangka kembali pada bulan Jun, dilangsungkan secara karnival

Liga dijangka kembali pada bulan Jun, dilangsungkan secara karnival

Saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) akan kembali pada bulan Jun depan, selepas lebih setahun pertandingan itu dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Rosmadi Ismail memberitahu Labola Malaya bahawa persiapan sedang giat dibuat untuk memastikan saingan bermula sepertimana dirancang, tetapi dengan format yang berbeza.

“Memang keutamaan kita ketika ini adalah memastikan MPFL kembali, pihak jawatankuasa telah merangka kertas kerja dan sedang membuat perancangan teliti tetapi terdapat faktor yang bukan di dalam kawalan kita iaitu Covid-19 dan kita harap pada waktu itu situasinya lebih baik.

“Jika tiada aral perancangan kita adalah memulakan saingan pada pertengahan bulan Jun dan akan berakhir pada hujung bulan Ogos, tetapi pertandingan kali ini akan berlangsung secara karnival di lima venue berbeza, membabitkan enam sirkit.

“Maksudnya perlawanan diadakan secara liga sepusingan (round-robin) dan bukannya timbal balik, empat pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir.

“Kita kekalkan penyertaan kepada 12 pasukan yang sama (MPFL 2020) tetapi berkemungkinan akan membuka penyertaan kepada lain-lain pasukan dan pasukan ini perlu terlebih dahulu bermain di pusingan kelayakan.

“Kita berpendapat pertengahan Jun adalah waktu yang ideal, kerana ia adalah selepas Aidilfitri dan setiap pasukan akan mempunyai tempoh waktu yang cukup untuk membuat persiapan. FAM sentiasa memikirkan jalan untuk memastikan arena futsal kembali meriah dan kita harapkan segalanya berjalan mengikut perancangan.

“Buat masa ini, ini adalah perancangan awal kita dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat apabila semua sudah dimuktamadkan nanti,” kata Rosmadi.

Sebagai rekod, 12 pasukan yang mengambil bahagian dalam MPFL 2020 adalah Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur, Pahang Rangers, Kedah, Pulau Pinang, KL City FC, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

MPFL diperkenalkan FAM pada tahun 2019 sebagai menggantikan saingan Liga Futsal Kebangsaan, dan saingan tahun pertama yang membabitkan sembilan pasukan menyaksikan Selangor muncul juara manakala Pahang Rangers pula bergelar naib juara.

Bagi saingan musim 2020, 12 pasukan mengambil bahagian namun pertandingan terpaksa ditangguhkan selepas hanya satu perlawanan berlangsung pada bulan Mac kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, sebelum dibatalkan terus pada bulan Jun.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.