Saingan Liga Malaysia kembali bersambung, akan bermula dengan dua aksi tertunda antara PJ City dan Terengganu FC (Liga Super) serta UKM FC dan Kelantan (Liga Premier) pada 22 Ogos depan.
“Pasukan tuan rumah iaitu PJ City FC dan UKM FC hendaklah memastikan pelan kawalan keselamatan, persediaan stadium atau venue perlawanan, petugas-petugas stadium diatur dan disediakan dengan cukup rapi,” kata Datuk Abd Ghani Hassan, CEO Malaysian Football League dalam satu kenyataan.
Perlawanan antara PJ City dan Terengganu FC sepatutnya berlangsung pada 14 Mac tetapi ditunda setelah PJ City gagal menyediakan venue berikutan Stadium MBPJ dalam proses baikpulih dan mereka gagal mencari venue alternatif.
Manakala aksi UKM FC dan Kelantan pula telah berlangsung pada 6 Mac di Stadium Selayang tetapi dihentikan pada minit keenam kerana hujan lebat diiringi petir.
Dalam perkembangan berkaitan, MFL terdahulu mengumumkan Liga Malaysia 2020 akan kembali bersambung pada 26 Ogos depan, dan kekal dengan keputusan melangsungkannya secara separuh liga sahaja.
Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.
Begitu juga dengan pertandingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November, berlangsung secara kalah mati satu pusingan membabitkan 16 pasukan.
MENGAMBIL KIRA BANYAK FAKTOR
Abd Ghani berkata banyak faktor dinilai termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.
“Untuk memulakan kembali Liga Malaysia 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu beberapa perkara perlu dipatuhi oleh semua pasukan di mana setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.
“Komisioner Perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan dan Operasi Standard Prosedur (SOP) pengelolaan perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan kelak.
“Bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia 2020, pihak MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan. Apa yang pasti, kita memang sudah bersedia untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.
Abd Ghani juga menegaskan kesemua pasukan hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos 2020.
“Ini adalah bagi penilaian dan pemantauan simptom COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan di mana latihan pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.
“Berkenaan perlawanan persahabatan,
MFL mengalakkan pasukan mengadakan perlawanan di antara wakil Liga Malaysia iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja kerana pasukan ini telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan memahami SOP yang telah ditetapkan.
“Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan sahaja dan stadium tersebut hendaklah didaftarkan di MITI. Stadium-stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan.
“Perlawanan tersebut hendaklah dimainkan tanpa penonton, hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenar berada di stadium.
“Nasihat MFL supaya pemain, pegawai serta semua yang terlibat menjaga kepentingan kesihatan serta akur kepada arahan SOP bagi memastikan bukan sahaja mahu memutuskan rangkaian tetapi bebas daripada pandemik COVID-19,” katanya.