Liga Premier meriah kerana ada Sarawak United, bolehkah mereka tepati ekspetasi?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tidak keterlaluan jika mengatakan saingan Liga Premier 2021 mungkin hilang serinya jika bukan kerana adanya Sarawak United FC.

Tatkala saingan divisyen dua bolasepak tanah air itu menyaksikan lebih banyak penglibatan pasukan berstatus pembangunan dan tidak ramai nama berprofil tinggi sebagai daya tarikan, Sarawak United FC pula mencuri tumpuan dengan kehadiran ramai pemain yang mempunyai nama besar dalam kancah Liga Malaysia seperti Norshahrul Idlan Talaha, Sandro da Silva, Taylor Regan dan Christie Jayaseelan.

Ditambah dengan adanya bekas jurulatih kebangsaan B.Satiananthan selaku Pengarah Teknikal Sarawak United FC, nyata pasukan dari Bumi Kenyalang ini menampakkan kesungguhan yang begitu tinggi bagi memburu semula slot ke Liga Super pada musim 2022.

Malah, pengendali Sarawak United FC, E. Elavarasan, melihat pasukan kali ini jauh berbeza dengan musim lalu dan beliau sendiri melahirkan keyakinan yang mereka mampu mencabar kejuaraan Liga Premier pada musim ini.

“Jika hendak dibandingkan dengan musim lalu, memang skuad ini lebih baik dan saya rasa kami boleh raih sesuatu pada musim ini dengan kehadiran pemain yang boleh beri kelainan kepada pasukan.

“Cuma saya tidak mahu situasi itu meletakkan kami terlalu yakin sehingga memandang rendah cabaran pasukan lain kerana masih banyak kerja perlu dilakukan dalam soal taktikal dan keserasian pemain.

“Saya harap pemain mampu berada di tahap bersedia sepenuhnya sebelum perlawanan bermula dan berdasarkan pengalaman yang ada pada kebanyakan pemain baharu diambil musim ini, saya jangka kami mampu lakukannya,” kata Elavarasan.

Dalam masa sama, Elavarasan menjelaskan beliau masih yakin dengan kemampuan penyerang berpengalaman, Norshahrul yang dianggap masih antara penggempur tempatan terbaik di kancah Liga Malaysia.

Jika Norshahrul mampu berada di kemuncak prestasi, Elavarasan berasakan pemain yang beraksi dengan kelab Thailand, BG Pathum United pada musim lalu itu mampu jadi penyumbang utama jaringan buat Sarawak United.

“Melihatkan dirinya, saya rasa dia masih ada lagi kemampuan untuk menjadi seorang pemain yang kita semua kenali dahulu dan Norshahrul akan jadi aset penting buat pasukan.

“Semua pemain perlu bersama membantunya selain mengharapkan dia juga kembali mendapat keyakinan, jika semuanya positif, saya rasa tidak ada masalah Norshahrul akan banyak berikan impak buat Sarawak United,” katanya.

Antara muka baharu yang turut menyertai Sarawak United ialah Lee Chang-hoon, Tommy Mawat Bada, Amer Saidin, K.Reuben, Khair Jones dan Gopi Rizqi.

Sarawak United FC akan membuka tirai saingan Liga Premier dengan berdepan Kelantan United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 6 Mac ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.