Liga Super : Penalti Bergson Selamatkan JDT Daripada Terkulai Di Tangan Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Rekod bersih Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini akhirnya lebur setelah seri 2-2 dengan Sri Pahang, dalam aksi berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.

JDT yang mencatat lima kemenangan berturut-turut sebelum ini dilihat sebagai pilihan mutlak untuk meneruskan momentum kemenangan mereka, apatah lagi berdepan Sri Pahang yang tempang tanpa beberapa pemain utama termasuk dua import Johan Martial dan Billy Ketkeophompone.

Malah skuad kendalian Benjamin Mora itu berjaya mendahului pada minit ke-17 menerusi sentuhan Bergson da Silva sebelum Sri Pahang mengikat kedudukan menerusi jaringan dari luar kotak penalti oleh pemain muda Saiful Jamaludin pada minit ke-38.

Tiga minit kemudian kesilapan Shahrul Saad menjatuhkan Mahmoud Za’tara di dalam kotak penalti, menyaksikan pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli menghadiahkan penalti kepada skuad tok gajah.

Manuel Hidalgo yang mengambil sepakan itu tidak membuat kesilapan, apabila sepakannya menewaskan Farizal Marlias untuk Sri Pahang mendahului 2-1 di separuh masa pertama.

JDT menggandakan asakan di separuh masa kedua, menguasai hampir keseluruhan 45 minit kedua dengan melancarkan serangan bertali arus selain memasukkan Ramadhan Saifullah dan Mousa Sidibe dan berjaya untuk mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-87 menerusi sepakan penalti.

Penalti dihadiahkan kepada JDT susulan Bergson dijatuhkan oleh pemain pertahanan Hasnul Zaim, walaupun ia dibantah keras oleh pemain-pemain Sri Pahang.

Bergson mudah menewaskan Mamadou Samassa untuk gol penyamaan namun skuad harimau selatan gagal mendapatkan jaringan kemenangan walaupun pengadil memberikan enam minit masa tambahan.

Ini adalah kali pertama JDT mencicirkan mata dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim sejak tewas kepada Terengganu pada musim lalu, iaitu selepas mengharungi 18 perlawanan.

Keputusan seri membolehkan JDT kekal mendahului Liga Super dengan 16 mata, manakala Sri Pahang pula berada di tangga ketujuh dengan lapan mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.