PJ City FC melakar kejutan besar dalam aksi Liga Super 2022 yang kembali bersambung minggu ini apabila membelasah antara pasukan yang dilabel pencabar kejuaraan, Terengganu FC 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.
Penyerang kebangsaan, Darren Lok muncul wira buat skuad bimbingan P.Maniam yang mempertaruhkan sepenuhnya pemain lokal apabila meledak hatrik pada minit ke-13, 31 dan 38.
Ia adalah kemenangan kedua buat PJ City musim ini setelah mengharungi tiga perlawanan, membolehkan mereka melonjak ke tangga ketiga Liga Super dengan enam mata.
Ironinya inilah kali pertama PJ City melakar kemenangan dengan defisit tiga gol sepanjang bermain dalam Liga Super sejak 2019.
Kekalahan buat Terengganu yang turun beraksi buat pertama kali dalam saingan liga musim ini menyaksikan mereka terperosok di tangga tercorot.
Di Cheras, Johor Darul Takzim mencatat kemenangan 3-0 ke atas KL City FC dan mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga dengan sembilan mata.
Gol buat skuad bimbingan Benjamin Mora dijaringkan oleh Fernando Forestieri pada minit ke-18 dan Bergson da Silva menyumbang dua gol pada minit ke82 (penalti) dan juga masa kecederaan.
Ia adalah kekalahan pertama KL City di laman keramat mereka, menyaksikan leburnya rekod bersih di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur selepas lebih setahun atau lebih tepat 19 perlawanan sejak 10 March 2021.
Skuad Bojan Hodak juga gagal membalas dendam kekalahan dialami kepada JDT dalam aksi Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) pada bulan Februari lalu dan masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam aksi liga setakat ini.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangu, Kedah Darul Aman FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sri Pahang, yang turun beraksi buat kali pertama musim ini menerusi jaringan tunggal pemain pertahanan Rodney Celvin pada minit ke-55.
Kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad Aidil Shahrin menyaksikan mereka terikat sembilan mata dengan JDT, namun berada di tangga kedua menerusi beza jaringan.
Foto kredit : PJ City FC