Liga Super : “Tiada Siapa Tahu Punca Kedah Jadi Lagu Ni”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada siapa tahu apa sebenarnya masalah yang membelenggu para pemain pasukan Kedah Darul Aman, sehingga menyebabkan prestasi pasukan itu merosot teruk dalam kempen Liga Super musim ini.

Terbaru, skuad sang kenari mensia-siakan kelebihan dua gol ketika menentang PJ City dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri di laman sendiri.

Skuad Aidil Sharin Sahak mendahului 3-1 sehingga minit ke-77 setelah Ronald Ngah Wanja meledak hatrik pertamanya musim ini, tetapi dua gol lewat menerusi Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Ia adalah kekecewaan terbaru buat Kedah setelah tewas menerusi jaringan minit akhir kepada Melaka United pada minggu lalu, dan penolong jurulatih Victor Andrag jelas kehilangan idea untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

“Sebagai jurulatih saya mohon maaf kepada peminat. Kami dalam pasukan mahukan kemenangan dan mentaliti pemain pun cuba nak menang. Yang jadi masalah apabila minit akhir menyebabkan kita gagal dapatkan keputusan.

“Kita tak ada masalah, termasuk dalam padang atau luar padang, nampak situasi baik. Tapi bila kita bermain, ada saja kesilapan yang berlaku terutama di hujung perlawanan.

“Kita mendahului, kita mendahului…tiga kali kita di depan, tapi akhirnya kita lepaskan ia (tiga gol mudah).

“Kita tak pasti mengapa pemain kita tak boleh nak ‘organise’ antara mereka, sebagai jurulatih kita dah buat perubahan tapi pemain yang berada dalam padang.

“Kita bercakap dengan pemain dan kita cuba berbincang dengan pemain, harap makin hari kita nakkan positif. Namun ia masih berlaku, di minit-minit akhir kita hilang fokus,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Secara keseluruhan, Kedah yang bermula cemerlang dengan menang tiga perlawanan awal telah melepaskan 17 gol musim ini, paling banyak dalam kalangan 12 pasukan bertanding dan 15 daripadanya adalah dalam lima perlawanan terakhir.

Mereka bagaimanapun masih tidak tercicir jauh apabila berada di kedudukan kedua Liga Super dengan 13 mata, namun telah beraksi lebih perlawanan berbanding Negeri Sembilan, Johor Darul Takzim dan Sabah FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.