Lim Keng Liat, Anak Sabah Yang Menjadi Fenomena Dunia Sukan Suatu Masa Dulu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Masih ingat lagi nama Alex Lim Keng Liat?

Berasal dari sebuah bandar kecil, Alex Lim menyerlah mencipta nama sebagai perenang berkelas dunia dalam sukan yang boleh dikatakan satu daripada sukan paling mencabar buat anak Malaysia.

Anak Sandakan ini berusia hanya 16 tahun ketika dia menyertai Bolles School di Florida, Amerika Syarikat, atas bantuan Majlis Sukan Negara.

Di sana, dia menghabiskan masa berjam-jam lamanya di kolam renang dan apa yang membuatkan Alex Lim terus mengorak langkah adalah kerana dia tahu ada potensi dalam dirinya dan determinasi cukup tinggi mahu menyerlahkannya.

“Saya suka berenang, sejak dari usia 10 tahun tetapi keluarga saya bukan orang senang, mereka tidak mampu untuk menghantar saya ke Amerika jadi saya tahu saya perlu menjadi perenang yang sangat-sangat bagus untuk merealisasikan hasrat itu.

“Saya berlatih bersungguh-sungguh dan bekerja keras buat yang terbaik dalam pertandingan tempatan untuk membuatkan orang nampak saya, dengan harapan, dapat tajaan atau biasiswa. Saya juga nak lihat sejauh mana saya boleh pergi dalam sukan renang, dan saya sedar saya tidak akan ke mana kalau terus berada di sini (Sandakan).

“Saya tidak mempunyai ramai rakan yang boleh menandingi kelajuan saya, kekadang rasa seolah bersaing dengan bayang sendiri. Itu mungkin membuatkan saya berasa sudah cukup baik, tetapi saya tahu di Amerika ada beratus perenang sama seperti saya. Jadi saya mahu cabar diri.

“Ianya sesuatu yang normal bagi saya untuk berenang sekitar enam jam sehari di Amerika,” kata Alex Lim yang memenangi 11 pingat emas secara keseluruhan dalam lima penampilan Sukan SEA dari 1997 – 2005.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Alex Lim tidaklah mempunyai ketinggian yang ideal buat seorang perenang – hanya berketinggian 1.70m namun itu tidak pernah sekalipun mengganggu fikirannya.

Ketika layak ke Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, dia baru berusia 16 tahun, tetapi ianya di Sukan Asia Bangkok dua tahun kemudian yang menyaksikan namanya mengegar arena renang tanah air dan menjadi satu fenomena.

Alex Lim Keng Liat Lim Keng Liat, Anak Sabah Yang Menjadi Fenomena Dunia Sukan Suatu Masa Dulu

Alex Lim menjadi atlet Malaysia pertama untuk memenangi pingat emas acara 100m kuak lentang, dan lebih menarik dengan catatan masa yang baru.

“Saya memenangi pingat perak dalam acara 200m dalam penampilan sulung beberapa hari sebelum itu jadi saya tahu saya boleh lakukannya,” ujarnya.

Lebih banyak pencapaian cemerlang dilakar empat tahun kemudian di Sukan Komanwel Manchester dan Sukan Asia Busan empat tahun kemudian walaupun tidak memenangi emas.

Sebutir pingat perak dan gangsa, dalam pertandingan yang turut membabitkan Ian Thorpe dan Matt Welsh dari Australia di Manchester, satu pencapaian menakjubkan sekaligus menyaksikan Alex Lim digelar sebagai ‘the mighty mouse’ oleh media tempatan tatkala dia menjadi perenang Malaysia pertama untuk berada di kedudukan podium di pentas Sukan Komanwel.

Dia terlepas mempertahankan pingat emas Sukan Asia hanya dengan beza masa terlalu kecil kepada perenang Jepun, Atsushi Nishikori dan mengakui ia kekecewaan yang cukup sukar diterima.

“Kami dipisahkan dengan beza masa yang terlalu kecil, saya sangat teringin mahu memenangi emas tetapi ia jelas bukan hari saya. Strategi saya cukup mudah, saya turun ‘all out’ dan mendahului perlumbaan dengan harapan dapat kekalkannya sehingga ke penamat.

“Semuanya berjalan lancar seperti dirancang sehinggalah ke beberapa meter yang terakhir apabila saya merasakan saya tidak boleh lagi mengerah kudrat lebih dari itu, seperti menjadi kaku,” jelasnya mengingati semula detik itu.

Satu daripada detik paling gemilang dalam perjalanan karier Alex Lim adalah ketika layak ke final 100m kuak lentang Kejohanan Dunia 2003 di Barcelona. Dia memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 54.77s di peringkat separuh akhir.

Rekod itu bersama-sama dua lagi rekod kebangsaan dalam acara 50m (Julai 2002) dan 200m (Disember 1998) masih belum diperbaharui sehingga 2017 menutup tirai.

Alex Lim bersara selepas Sukan Asia 2006 di Doha, dia terjun ke bidang kejurulatihan dan kemudiannya dilantik ketua jurulatih renang Sabah.

Sebagai pengiktirafan kepada sumbangannya, Majlis Olimpik Malaysia pada 2010 melantiknya sebagai chef de mission Sukan Olimpik Remaja edisi sulung di Singapura.

Alex Lim yang mempunyai Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Berkeley di California, berterima kasih kepada setiap peluang yang hadir dalam hidupnya.

“Pergi ke Amerika Syarikat adalah pengalaman yang mematangkan saya, saya tiada pilihan tetapi perlu untuk belajar bercakap inggeris walaupun saya sebelum itu pergi ke sekolah cina. Untuk dua tahun pertama ianya sukar, tetapi kemudian saya semakin yakin dengan diri.

“Ia juga mengajar saya untuk menjadi lebih baik terutama dalam soal pengurusan kewangan apatah lagi kini saya sudah berkeluarga,” katanya yang kini merupakan ahli perniagaan.

Foto : The Star, koleksi peribadi Alex Lim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.