Lima Bintang Buat Barisan Pertahanan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Buat kali pertama dalam sejarah penyertaan di Liga Juara-Juara Asia, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan tiga aksi pusingan pertama peringkat kumpulan tanpa tewas dan memimpin carta Kumpulan I dengan tujuh mata.

Keputusan seri tanpa jaringan menentang kelab J1, Kawasaki Frontale, pada Khamis meletakkan JDT di landasan tepat untuk mengecap sasaran mara peringkat seterusnya.

Dalam tiga perlawanan, skuad Harimau Selatan sudahpun mempertaruhkan tiga penjaga gol berbeza. Haziq Nadzli dalam aksi pertama dan kedua, Izham Tarmizi turut mempunyai minit permainan ketika perlawanan kedua, manakala penjaga gol utama Farizal Marlias pula pada aksi ketiga.

Jumlah keseluruhan gol membolosi gawang mereka hanyalah satu, membuktikan betapa solidnya departmen pertahanan dan ini juga menjadi kunci bagi pasukan JDT untuk mengekalkan kecemerlangan.

Farizal Marlias sendiri tidak ketinggalan memberi kredit kepada rakan-rakannya di barisan pertahanan – Matthew Davies, Shahrul Saad, Shane Lowry dan Corbin Ong – yang disifatkannya sebagai watak penting kerana berjaya mengemudi benteng dengan cukup ampuh.

Malah lebih menarik, dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, skuad kendalian Toru Iniki didapati sukar mencipta peluang jaringan dan tiada langsung melakukan percubaan tepat (shot on target) ke arah gawang.

“Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya katakan kepada keempat-empat pemain itu apabila mereka berjuang bersungguh-sungguh bagi menyekat serangan daripada kelab dari Jepun itu malah pemain lawan jelas buntu untuk menembusi benteng ampuh.

“Kita juga dapat lihat komitmen setiap pemain yang mengekalkan disiplin tinggi malah tidak kekok untuk bersaing dengan pemain berstatus bintang dari Jepun itu dan kerjasama itu memberi keyakinan untuk saya beraksi konsisten.

“Alhamdullilah kita berjaya mengutip satu mata. Walaupun tidak beraksi pada dua perlawanan lalu kerana dalam proses pemulihan kecederaan tapi sokongan daripada rakan sepasukan memberi keyakinan dan malam ini (malam tadi) saya buktikan dengan aksi konsisten dan semuanya adalah daripada kata-kata semangat rakan bagi memastikan saya tidak gugup pada aksi pertama,” katanya selepas perlawanan.

JDT akan menentang Kawasaki Frontale sekali lagi pada 24 April ini, sebelum berdepan Guangzhou Evergrande pada 27 April dan menutup aksi kumpulan pada 30 April menentang Ulsan Hyundai.

Foto ehsan : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.