5 tonggak defensif ampuh Chelsea, dan harga mereka kurang dari seorang Harry Maguire

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Rekod defensif Chelsea boleh dikatakan agak teruk pada musim lalu dan menjadi sasaran kritikan ramai, tak kira penyokong, pemerhati mahupun haters.

Frank Lampard nampaknya berjaya menyelesaikan masalah itu dengan rekrutmen yang betul, serta dibantu beberapa pembelian bijak dan berbaloi, menyaksikan the blues kini kelihatan begitu ampuh di barisan pertahanan.

Mereka mencatat enam clean-sheet dalam lapan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan bolos hanya dua gol.

Pada hakikatnya rekod impresif barisan defensif mereka itu dibantu aksi mengagumkan lima pemain ini, dengan Lampard tidak perlu berbelanja sehingga £80 juta yang dibayar Manchester United untuk mendapatkan seorang Harry Maguire.

Edouard Mendy

Prestasi buruk dan kurang meyakinkan penjaga gol Kepa Arizabalaga dalam saingan EPL 2019/2020 memaksa Chelsea mencari penjaga gol baru.

Walaupun pada awalnya dikaitkan dengan Jan Oblak, Andre Onana dan Dean Henderson, mereka akhirnya menandatangani Mendy yang tidaklah berprofil tinggi dari Rennes pada harga sekitar £22 juta.

Mendy membuktikan dia adalah pilihan tepat apabila tampil cemerlang di gawang dan merekodkan tujuh clean-sheet dalam 10 perlawanan.

Reece James

Pemain ini bukan pembelian baru, tetapi salah seorang daripada ‘graduan’ Akademi Chelsea yang mendapat banyak manfaat selepas kemasukan Lampard.

Dengan kepercayaan dan peluang yang diberikan, Reece James pantas meningkat sebagai salah seorang pemain bek kanan terbaik EPL sehingga dia berjaya mengetepikan ‘orang lama’ Cesar Azpilicueta dari kesebelasan utama.

“Pemain dengan fizikal yang sangat bagus dan bakat semulajadi yang mengagumkan. Saya memantaunya sejak ketika dia bermain di Wigan (pinjaman) dan cuba untuk membawa dia masuk ke Derby County tetapi tidak berjaya.

“Peningkatan ditunjukkannya cukup luar biasa, dia seorang pemain yang sentiasa mahu menjadi lebih baik dan saya tahu dia akan berikan yang lebih baik setiap kali beraksi,” kata Lampard pada Oktober lalu.

Thiago Silva

Selepas menjulang tujuh kejuaraan Ligue 1 berturut-turut bersama PSG, Thiago Silva membuat keputusan menyertai Chelsea secara percuma.

Walaupun seorang pertahanan yang berpengalaman dan proven, faktor usia yang sudah mencecah 36 tahun membuatkan ramai sangsi sama ada dia dapat menyesuaikan diri dengan intensiti dan tahap kompetitif tinggi EPL.

Memang dia bermula dengan agak goyah dalam penampilan sulung ketika menentang West Brom (penampilan yang pasti mahu dilupakannya), tetapi kemudiannya menjadi tunjang kepada peningkatan mendadak di barisan defensif.

Kurt Zouma

Pemain yang dibeli dengan harga £12 juta oleh Jose Mourinho pada 2014 ketika masih lagi muda remaja, Zouma mengharungi permulaan yang baik di Stamford Bridge dan menjuarai EPL 2014/15.

Kecederaan lutut membantutkan perkembangannya menyaksikan pemain pertahanan tengah ini hilang seketika dari perancangan dan kemudiannya dipinjamkan ke Stoke City dan Everton, sebelum kembali ke Chelsea pada musim 2019.

Selari dengan peredaran masa, pemain Perancis ini berjaya memenuhi potensi sebenarnya dan kini menjadi tonggak barisan belakang Chelsea dengan permainan meyakinkan terutama dalam perebutan bola di udara serta kepantasan untuk memenangi bola yang hilang.

Ben Chilwell

Chelsea sedikit bergelut untuk mendapatkan pengganti Ashley Cole di posisi bek kiri sejak pemain itu meninggalkan pasukan.

Azpilicueta menyerlah ketika digilirkan sekejap di posisi itu tetapi ia tidak dapat dilakukan oleh Marcos Alonso yang lebih cemerlang sebagai wing-back (bukannya left-back), mendorong Chelsea untuk berbelanja besar bagi mendapatkan Ben Chilwell yang telahpun membina nama sebagai salah seorang bek kiri terbaik EPL bersama Leicester.

Ya, pada harga £45 juta, Chilwell menjadi pertahanan termahal dibawa masuk Lampard. Selepas tersisih beberapa perlawanan awal kerana kecederaan, Chilwell berjaya memenangi hati penyokong dengan aksi impresif, dan telahpun menjaringkan dua gol serta mencatat dua assist dalam enam penampilan EPL pertamanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.