Mana nak jumpa pemain yang boleh mencadangkan pengurus sedia ada digantikan dengan pengurus lain, mungkin hanya Lionel Messi yang boleh melakukannya!
Bintang Barcelona itu dilaporkan telah meminta pengurusan untuk membuat bidaan sensasi mendapatkan pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa bagi menggantikan Quique Setien.
Tekanan menghimpit Setien berikutan kegagalan Barcelona untuk mempertahankan kejuaraan La Liga menyebabkan kedudukannya terancam hanya enam bulan selepas menggantikan Ernesto Valverde.
Bielsa pula baru-baru ini membawa Leeds United kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 16 tahun, namun belum memperbaharui kontraknya yang akan tamat hujung bulan ini.
Justeru, akhbar antarabangsa The Sun mendedahkan bahawa Messi mahu gergasi catalan itu memanfaatkan situasi ini untuk memujuk Bielsa berpindah ke Nou Camp kerana dia yakin pengendali itu adalah orang tepat untuk memulihkan kecelaruan dan keharmonian di kem pasukan itu.
Bielsa, pengendali dari Argentina berusia 64 tahun, merupakan idola kepada bekas pengurus Barcelona sebelum ini Pep Guardiola yang kini bersama Manchester City.
Bielsa telah merubah Leeds United kepada sebuah pasukan menghiburkan dengan corak permainan dominan bersahaja yang dilihat menepati falsafah permainan Barcelona.
Dia sepatutnya membimbing kelab Yorkshire itu layak ke EPL pada musim lalu namun tewas dalam perlawanan play-off. Bagaimanapun dia menebus kekecewaan itu penuh bergaya musim ini dengan menjuarai Liga Kejuaraan.
Sebelum bersama Leeds United, Bielsa pernah membimbing kelab Ligue 1 Marseille dan Lille, kelab Serie A Lazio malah dia juga pernah membimbing kelab LaLiga, Athletic Bilbao selain pasukan kebangsaan Argentina dan Chile.
Sementara itu bagi Barcelona pula, ia sememangnya musim sukar buat mereka. Bukan sahaja terlepas kejuaraan liga ke tangan Real Madrid, tetapi turut berdepan beberapa isu luar padang seperti hubungan dingin antara Setien dengan beberapa pemain bintang termasuklah Messi sendiri yang dianggap sebagai punca utama membawa kepada beberapa isu berbangkit lain.
Selain itu, pasukan itu juga berdepan masalah kewangan yang memaksa mereka untuk melelong pemain bagi mendapatkan pemain baru.
Foto : Zimbio