Lionel Messi dan Sergio Aguero dinamakan sebagai dua penyerang yang paling sukar pernah dihadapi oleh pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk.
Van Dijk yang merupakan juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan pemenang anugerah PFA Player of The Year: 2018-19 berkongsi mengenai perkara itu menerusi satu sesi soal jawab bersama peminat-peminatnya di Twitter, semalam.
Melengkapkan perpindahan ke Liverpool pada jendela perpindahan musim sejuk 2017-18 daripada Southampton, penghijrahan itu membolehkan van Dijk beraksi dalam kancah paling berprestij di eropah iaitu UCL.
Di situ pertahanan berusia 28 tahun ini telah bertemu dengan penyerang-penyerang hebat dari seluruh pelusuk benua eropah malahan beberapa daripadanya memegang status sebagai antara penyerang terbaik dekad ini.
Antara yang boleh dinamakan di sini ialah Robert Lewandowski (Bayern Munich), Cristiano Ronaldo, Karim Benzema (Real Madrid), Kylian Mbappe, Neymar Jr. (Paris Saint-Germain) Diego Costa, Alvaro Morata (Atletico Madrid), Lorenzo Insigne (Napoli), Edin Dzeko (AS Roma) dan Erling Haaland (RB Salzburg yang kini beraksi bersama Borussia Dortmund).
Namun pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali, Lionel Messi yang beraksi bersama FC Barcelona menjadi pemain yang paling sukar dihadapi menurut van Dijk.
There are some difficult strikers out there but probably Leo Messi
— Virgil van Dijk (@VirgilvDijk) March 31, 2020
“Ada beberapa penyerang yang sukar dihadapi tetapi semestinya Leo Messi,” tulis van Dijk menjawab persoalan yang dilontarkan oleh seorang pengguna Twitter.
Beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak musim 2015-16, van Dijk turut berhadapan dengan penyerang-penyerang handalan seperti Zlatan Ibrahimovic, Romelu Lukaku, Harry Kane, Aubameyang, Jamie Varday, Olivier Giroud dan beberapa nama lain lagi.
Aguero
— Virgil van Dijk (@VirgilvDijk) March 31, 2020
van Dijk yang merupakan salah seorang pemain skuad kebangsaan Belanda turut menamakan penyerang Manchester City, Sergio Aguero sebagai penyerang paling sukar dikawal sepanjang bergelar pemain profesional bersama empat kelab setakat ini.
Kedua-dua pemain, Lionel Messi dan Sergio Aguero merupakan kelahiran Argentina dan merupakan pemain skuad kebangsaan Argentina yang turut dikenali sebagai La Albiceleste.