Pendahulu Liga Perdana Inggeris yang juga pasukan ketujuh terkaya dunia, Liverpool membatalkan hasrat untuk memberikan cuti dan meminta kerajaan menanggung 80 peratus gaji staff bukan pemain, seperti yang diumumkan pada Sabtu.
Kelab itu mengambil keputusan meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.
Skim itu adalah untuk menjamin 80 peratus gaji bagi kakitangan sehingga maksimum £2,500 (RM15,000) sebulan yang akan dibayar kerajaan manakala mereka akan menambah lagi baki 20 peratus kepada kakitangan yang terbabit.
Keputusan itu bagaimanapun mendapat kritikan bekas pemain yang kini menjadi penganalisis bola sepak, Jamie Carragher selain bekas penyerang The Reds Stan Collymore serta penyokong bolasepak dari seluruh pelosok dunia.
Mereka berpendapat dengan reputasi gah selaku juara eropah, juara dunia dan mempunyai keuntungan sebelum cukai 42 juta pound (RM223.9 juta) untuk musim 2018-19, ianya langkah memalukan oleh salah satu kelab terkaya dunia itu.
Apatah lagi kelab seteru mereka seperti Manchester United mahupun Manchester City tidak mengambil langkah seperti itu sebaliknya menyatakan akan membayar penuh gaji pemain dan kakitangan belakang tabir.
“Kami percaya keputusan yang diambil minggu lalu adalah salah dan kami memohon maaf di atas kesilapan itu,” kata ketua eksekutif Liverpool Peter Moore.
Foto : Liverpool FC