Ljuba Baranin dedah mengenai pegawai lagak mafia, penipuan dan kenapa dibayar RM11,500

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru-baru ini telah viral pendedahan Ljuba Baranin mengenai kegagalan Batu Dua FC membayar gaji dan beberapa penipuan lain, sehingga dia menggambarkan pasukan itu sebagai neraka.

Batu Dua FC kemudian telah membuat penafian, malah memuatnaik beberapa gambar kononnya bayaran RM11,500 telah dibuat dan ditandatangan sendiri oleh Ljuba.

Justeru mereka seolah menuduh Ljuba pula mempunyai agenda menjatuhkan pasukan itu.

Ini penjelasan Baranin mengenai tidak dibayar gaji, penipuan, lagak mafia pegawai pasukan, dan apa maksud RM11,500 yang diterima.

“Kisahnya begini. Saya sepatutnya dibayar RM16,350 sebulan. Pada empat bulan terakhir, saya hanya menerima satu bulan gaji. Tiga bulan yang lain, tiada pembayaran langsung yang saya terima.”

Bagaimanapun Baranin turut menjelaskan gaji bukan satu-satunya masalah yang dihadapi oleh beliau ketika berada di Malaysia.

“Masalah utama saya juga ialah berkaitan dengan permit kerja. Saya sebenarnya sudah melangkaui tempoh 75 hari daripada tempoh yang dibenarkan untuk berada di Malaysia.

“Pihak Imigresen menggesa saya untuk hadir [ke pejabat Imigresen] bersama pegawai dari kelab [Batu Dua FC]. Tetapi panggilan telefon saya [kepada pegawai berkenaan] untuk berbuat demikian tidak pernah dijawab.

“Kerana itu saya tidak mempunyai pilihan setelah pihak Imigresen menggesa saya untuk meninggalkan negara ini [Malaysia] dalam tempoh 10 hari,” jelas beliau mengenai masalah untuk terus berada di negara ini.

Disebabkan keadaan itu Baranin memaklumkan kepada pengurus pasukan dan seorang lagi pegawai bahawa beliau sudah tidak mempunyai sebarang pilihan, melainkan untuk membuat laporan polis dan turut menghantar kes ini kepada pihak PFAM.

Hanya selepas itu, beliau dihubungi dan dimaklumkan akan dibayar gaji untuk membenarkan beliau terbang ke Serbia.

“Saya diajak berjumpa di sebuah restoran. Lima yang lain turut hadir, lagak seperti mafia. Mereka ingat saya takut.

“Kemudian mereka menyerahkan wang tunai berjumlah RM11,500. Saya bertanya: ‘Apa ini? Jumlah ini hanya 25% daripada apa yang sepatutnya dibayar kepada saya. Di mana jumlah yang lain?’

“Mereka memaklumkan bahawa ‘boss’ enggan membayar saya. Malah mereka meminta saya memulangkan cek dan kontrak, atau saya akan berhadapan dengan masalah.

Baranin turut memaklumkan bahawa cek yang diberikan kepada beliau itu tidak diterima oleh pihak bank untuk ditunaikan.

“Saya memaklumkan kepada mereka saya tidak boleh menerima jumlah [RM11,500] tersebut. Kemudian mereka mengugut untuk memberikan masalah kepada rakan-rakan saya yang lain dalam pasukan. Maka saya terpaksa menandatangani surat tersebut.

“Saya menandatangani surat tersebut kerana terdesak setelah imigresen mengarahkan saya untuk meninggalkan negara ini. Saya perlukan wang tersebut untuk membayar penalti kepada pihak Imigresen, dan juga tiket penerbangan keluar dari Malaysia. Saya berbuat demikian juga kerana tidak mahu rakan lain mengalami masalah,” jelas beliau.

Baranin turut berkata beliau memiliki bukti untuk semua dakwaan tersebut. Beliau juga mendedahkan masalah pembayaran gaji bukan sahaja dihadapi oleh beliau, tetapi turut dihadapi oleh pemain-pemain tempatan dan import lain di dalam pasukan.

Antara pendedahan lain oleh Baranin ialah terdapat pemain import yang bermalam sehingga enam malam di dalam kereta kerana tidak dibayar gaji.

Lebih mengecewakan Baranin, beliau turut menyerahkan sejumlah wang kepada pihak kelab untuk membantu beliau menyelesaikan masalah permit kerja, namun ianya tidak dilakukan.

Walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemudahan, Baranin mendedahkan beliau membayar sendiri sewa rumah dan kenderaan yang beliau guna sepanjang bergelar pemain Batu Dua FC.

Sumber : Semuanya Bola (Diolah semula dengan izin)

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.