Pada usia 40 tahun David Seaman lakukan sesuatu tak terjangkau dek akal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bila sebut nama David Seaman, perkara yang pantas menjengah ingatan peminat bolasepak adalah gol yang dilepaskannya kepada Ronaldinho ketika England menentang Brazil di Piala Dunia 2002.

Penjaga gol bertocang itu gagal menduga sepakan percuma jarak jauh dilakukan oleh Ronaldinho yang terus menerjah jaring, menyaksikan England tewas 1-2 dan tersingkir di suku akhir.

David Seaman yang ketika itu sudahpun memahat nama sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia mengakuinya sebagai momen paling memalukan dalam perjalanan karier lebih 20 tahun.

Penjaga gol Arsenal itu dikecam hebat malah ramai yang menganggap pada usianya yang sudah 39 tahun, dia tidak lagi relevan untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.

Pengurus England, Sven Goran Erikson terus memberi peluang kepada David Seaman untuk kekal sebagai penjaga gol nombor satu bagi membantu cabaran di pusingan kelayakan Euro 2004 pada tahun sama.

Namun kemudiannya dia digugurkan selepas melepaskan gol menerusi sepakan sudut yang terus melencong masuk ketika menentang Macedonia, yang menambah lagi kritikan ke atasnya. Ia sekaligus menjadi penampilan terakhir David Seaman dalam jersi Three Lions.

Begitupun dua kesilapan di penghujung karier tidak menceritakan kredibiliti sebenar David Seaman, penjaga gol kelahiran Rotherham yang memulakan karier bersama Leeds United.

Dia tidak akan dianggap legenda mahupun salah seorang penjaga gol terbaik dunia tanpa sebab. Dia adalah pemain dengan refleks dan tindakan pantas, bijak menutup ruang.

PERTAHANAN AKAN RASA SELAMAT DENGAN ADANYA KELIBAT DAVID SEAMAN DI GAWANG

Pada 1988 dia yang mewakili Queens Park Rangers sudahpun dihadiahkan kap sulung antarabangsa oleh Bobby Robson dan dua tahun kemudian ditandatangani Arsenal – pembuka jalan kepada perjalanan gemilang kariernya, secara kebetulan perjalanan gemilang Arsenal sendiri.

Musim pertamanya bersama the gunners pada 1990/1991, David Seaman bermain dalam kesemua 38 perlawanan dan hanya melepaskan 18 gol, membantu pasukan itu merampas kejuaraan liga.

Selepas itu David Seaman menjadi tonggak instrumental Arsenal memenangi European Cup Winners Cup 1994, English Premier League sebanyak dua kali dan Piala FA sebanyak empat kali.

David Seaman Pada usia 40 tahun David Seaman lakukan sesuatu tak terjangkau dek akal

Pada pertengahan 90-an, David Seaman juga dikenali sebagai pakar sepakan penalti. Dia menyelamatkan tiga daripada empat sepakan penalti Milwall ketika aksi Piala Liga 1994 dan pada 1995 menyelamatkan tiga sepakan penalti Sampdoria di separuh akhir Cup Winners Cup.

Dia mengulanginya di Euro 96 apabila menyelamatkan penalti Garry McAlister ketika England menentang Scotland pada aksi kumpulan dan penalti Miguel Angel Nadal ketika menentang Sepanyol di suku akhir. Langkahan England tersangkut di separuh akhir namun David Seaman dinobatkan Pemain Terbaik Kejohanan.

Pada musim terakhirnya di Arsenal iaitu pada 2002/2003, musim baru selepas berakhirnya Piala Dunia 2002. Dia gagal membantu Arsenal mempertahan kejuaraan EPL, namun mengakhiri karier bersama pasukan itu dengan nota gemilang apabila membantu mereka menjuarai Piala FA, di mana dia sendiri memainkan peranan cukup besar.

Apa yang membuatkan ramai terpukau adalah aksi menyelamat cemerlangnya ketika menentang Sheffield United di separuh akhir.

‘SAVE OF THE DECADE’

Arsenal sedang mendahului 1-0 menerusi jaringan Freddie Ljungberg dan perlawanan menuju ke 10 minit terakhir. Sheffield United mendapat sepakan sudut, hantaran Michael Tonga disambut oleh Carl Asaba yang melakukan sepakan gunting menemui kepala Paul Peschisolido.

Tandukan Peschisolido dilihat menuju ke gawang, namun David Seaman melakukan apa yang dianggap mustahil dan tak terjangkau dek akal apabila melayangkan badan menolak bola itu daripada melintasi garisan gol dan kemudian menghalang pemain lawan melakukan follow-up.

Wow, memang wow! Lihat video di bawah bagaimana David Seaman melakukannya, dan dia ketika itu berusia 40 tahun, dan ia adalah perlawanan ke-1,000 nya sebagai pemain professional.

Penjaga gol legenda Manchester United Peter Schmeichel yang merupakan pengulas perlawanan pada malam itu, menyifatkan ia sebagai ‘the best save i have ever seen’ bermaksud ini adalah aksi menyelamat terbaik pernah saya saksikan.

David Seaman kemudian menjadi kapten Arsenal di perlawanan akhir berikutan ketiadaan Patrick Vieira, mencatat satu lagi ‘clean sheet’ untuk membantu Arsenal menjulang Piala FA dengan menewaskan Southampton 1-0 pada penampilan terakhirnya bersama Arsenal.

Dia telah beraksi di gawang Arsenal melebihi semua penjaga gol lain, dan merupakan pemain Arsenal kedua dengan penampilan paling tinggi untuk pasukan di belakang Ray Parlour.

David Seaman menyertai Manchester City pada 2003/04 namun penampilannya terbatas kerana kecederaan bahu, menyebabkannya mengumumkan persaraan serta-merta.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.