Luqman Hakim tersisih tiga minggu kerana cedera harmstring

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin bakal tersisih untuk sekurang-kurangnya tiga minggu selepas mengalami kecederaan harmstring ketika sesi latihan bersama KV Kortrijk pada Sabtu, disahkan oleh pemain itu sendiri.

“Doktor memberitahu ada koyakan di paha (kira-kira 2cm) dan menasihatkan saya untuk berehat dulu dalam tiga minggu bagi memberi tumpuan kepada sesi pemulihan bersama pasukan.

“Sebenarnya kecederaan ini saya alami sehari selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht minggu lalu, cuma ketika itu saya fikir ia kecederaan biasa.

“Agak kecewa jugalah kerana baru sahaja membuat penampilan sulung bersama pasukan senior dan keyakinan saya semakin bertambah untuk terus cuba memenangi tempat di dalam skuad bagi perlawanan seterusnya.

“Tetapi tidak mengapa, saya berharap pemulihan akan berjalan lancar dan akan dapat segera kembali menyertai rakan sepasukan,” ujar pemain berusia 18 tahun itu ketika dihubungi Labola Malaya baru sebentar tadi.

Perkembangan terbaru ini bermakna kelibat Luqman Hakim tidak akan dapat disaksikan dalam aksi Jupiler Pro League sekurang-kurangnya dalam tiga perlawanan bermula dengan perlawanan menentang Zulte Waregem pada 3 November ini; disusuli Beerschot (7 November) dan Club Brugge (22 November).

Sebagai rekod, pemain kelahiran Kelantan itu membuat penampilan sulung bersama skuad senior KV Kortrijk ketika pasukan itu tewas 1-3 di tangan RSC Anderlecht pada  24 Oktober lalu.

Dia masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-73 menggantikan Petar Golubovic dan mencuri tumpuan apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan Ilombe Mboyo pada minit ke-87.

Sambil menyifatkan peluang yang diraih itu meningkatkan motivasi dan keyakinannya, Luqman Hakim berjanji akan menjadikannya batu loncatan untuk terus mengorak langkah dan membina reputasi di bumi Belgium.

Sebelum ini pengurus pasukan Yves Vanderhaeghe dalam satu temubual disiarkan kelab itu di media sosial mereka memberitahu Luqman Hakim mempunyai bakat dan kualiti yang mengagumkan namun dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan bolasepak Eropah yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

“Dia sedang melalui proses yang betul dan akan memuncak pada waktu yang betul, tiada keraguan mengenainya,” kata Vanderhaeghe.

Sumber gambar : KV Kortrijk

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.